1000 PENDUDUK MERIAHKAN SANTUNI MADANI KEDA
ALOR SETAR – Program Satu Pemimpin Satu Kampung (SANTUNI MADANI) anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di pekarangan Masjid Al-Ihsan, Seberang Perak, Tongkang Yard, berjaya menarik kehadiran kira-kira 1000 penduduk setempat.
Program ini berlangsung sepanjang hari, bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada 10.00 malam, dengan pelbagai aktiviti menarik disusun khas untuk penduduk.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, YB. Teh Swee Leong bersama Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff serta Setiausaha Bahagian Komuniti Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Encik Che Mohd Zulkifli bin Ismail.
Program ini dibahagikan kepada dua segmen utama, iaitu Kepimpinan Komuniti dan Sesi Libat Urus Masyarakat, yang mana penduduk berpeluang untuk berinteraksi dengan 18 agensi kerajaan dan swasta melalui kaunter perkhidmatan bergerak dan pameran. Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Askar Wataniah, Polis Diraja Malaysia (PDRM),PERKESO, Tabung Haji, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),IKM Mara dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti disediakan iaitu sukan Rakyat seperti congkak, mobile legends, karom, sepak raga bulatan, dan pertandingan mewarna turut dianjurkan untuk menghiburkan peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Turut diadakan pemeran dan Khidmat kaunter bergerak, promosi Kolej KEDA dan Ceramah Perdana.
Objektif utama program ini adalah untuk memupuk penglibatan aktif pemimpin kampung dalam pembangunan komuniti serta memberi pendedahan kepada penduduk tentang peranan penting agensi kerajaan dan swasta dalam membantu pembangunan kampung.








