KURSUS MYAGRO INCOME BERASASKAN KOMUNITI NEGERI KEDAH TAHUN 2024
SELANGOR – Kursus MyAgro Income Berasaskan Komuniti Negeri Kedah Tahun 2024 telah berjaya diadakan dari baru-baru ini bertempat di Dorsett Grand Hotel, Subang di sini.
Kursus ini dianjurkan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Kompetensi INFRA serta Bahagian Niagatani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), dan telah melibatkan seramai 30 peserta.
Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan, ilmu terkini, serta latihan kepada para petani dalam memastikan mereka terus kompeten dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Selain itu, ia juga memfokuskan kepada penggunaan kaedah dan teknologi terkini dalam pertanian yang dapat meningkatkan pendapatan petani dengan kos yang minimum. Kursus ini turut dijadikan platform untuk memperluaskan jaringan hubungan dalam kalangan peserta sebagai petani.
Penceramah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyampaikan pelbagai modul yang relevan, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni dari Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).
Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Kompetensi INFRA, YBhg Encik Mohd Nordin bin Ab Wahab. Beliau turut menyampaikan sijil kepada para peserta, di samping cenderahati kepada wakil penceramah daripada UPM serta Penolong Pengurus Niagatani KEDA, Nor Juhaini binti Jamaludin.
Sebagai tanda penghargaan, INFRA dan UPM turut menerima cenderahati daripada KEDA atas sokongan penganjuran kursus ini. Kursus ini diharapkan dapat memperkukuhkan peranan petani sebagai penyumbang utama sektor pertanian negara serta meningkatkan kualiti kehidupan komuniti luar bandar di Negeri Kedah.