KAMPUNG SUNGAI ITAU SELIAAN KEDA MENJADI JOHAN ANUGERAH ASPIRASI DESA MADANI TAHUN 2024
SERDANG – TAHNIAH KAMPUNG SUNGAI ITAU! Inilah ucapan penghargaan dapat digambarkan dari keseluruhan staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada Kampung Sungai Itau yang telah berjaya menjadi johan kategori kampung tradisional dan rumah panjang sempena Anugerah Aspirasi Desa MADANI bagi tahun 2024 ini.
Kampung ini adalah kampung dibawah seliaan Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi untuk pertandingan ini.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) 2024 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Digital, YB Wilson Ugak anak Kumbong, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Dato’ Afandi bin Nordin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Encik Mohd Kamal bin Husin.
Hadir mewakili KEDA pula adalah Pengurus Besar, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim dan staf Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Abdul Hadi bin Abdul Halim.
ADM ini adalah selaras dengan inisiatif Malaysia MADANI yang bertujuan memperkukuh potensi komuniti luar bandar dalam kepimpinan, pendidikan, kemahiran dan kesejahteraan ekonomi serta sosial.
Inisiatif ini juga menyokong pembangunan “Smart Village” dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Sebanyak 115 kampung mengambil bahagian dalam ADM, dengan 42 kampung terpilih sebagai pemenang. Johan menerima RM30,000 untuk pembangunan sosio-ekonomi, yang merangkumi aktiviti ekonomi, keusahawanan, infrastruktur dan kreativiti komuniti desa.
Penganjuran ini juga bertepatan dengan persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Tahniah sekali lagi buat Kampung Sungai Itau. Semoga terus sukses dan menjadi contoh kepada kejayaan kampung lain di negeri Kedah ini.