JUALAN KASIH KEDA MADANI DI PKD NAPOH PENUTUP TIRAI 2024

JUALAN KASIH KEDA MADANI DI PKD NAPOH PENUTUP TIRAI 2024

KUBANG PASU – Program Jualan Kasih KEDA MADANI Tahun 2024 melabuhkan tirainya di Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh hari ini, selepas berjaya menarik perhatian hampir 10,000 pengunjung sepanjang siri penganjurannya di empat lokasi.
Program ini sebelum ini telah diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA Alor Setar, Sik, Desa KEDA Singkir Badong, Yan, dan diakhiri di Napoh, menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat.
Sebagai salah satu inisiatif mendukung aspirasi MADANI, program ini bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan menawarkan jualan barangan keperluan harian pada harga istimewa, termasuk potongan sehingga 30 peratus.
KEDA, dengan kerjasama FAMA Negeri Kedah, menyediakan pelbagai barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, daging segar, dan barangan kering. Sebanyak 53 jenis item dijual, selain 20 produk usahawan tempatan yang turut dipromosikan.
Program melibatkan peruntukan sebanyak RM150,000, menzahirkan komitmen KEDA dalam membantu komuniti luar bandar dan usahawan tempatan.
Penganjuran Jualan Kasih KEDA MADANI bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi juga menyokong usaha meningkatkan ekonomi usahawan melalui platform jualan yang lebih meluas.
KEDA berharap melalui program ini,ia dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat di samping mendukung nilai-nilai MADANI dalam setiap inisiatif KEDA.
Program ini membuktikan keprihatinan KEDA dalam mendekati komuniti dan terus menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan kesejahteraan rakyat.