KEDA KOMITED TERUSKAN PROGRAM JUALAN KASIH KEDA MADANI 2025

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited untuk meneruskan Program Jualan Kasih KEDA MADANI pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Menurut Pengerusi KEDA, YBhg. Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom, pihaknya merancang mengadakan program ini di tiga lokasi utama iaitu di daerah Kulim, Baling, dan Padang Terap melalui perjanjian persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah.
“Kami merancang untuk memperluaskan program ini bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup. Melalui jualan ini, barangan seperti beras, ikan segar, sayur-sayuran, dan buah-buahan dapat diperoleh secara langsung daripada pengusaha dengan penjimatan harga sehingga 30 peratus.
“Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mempromosikan produk usahawan tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara KEDA dan FAMA sempena Jualan Kasih KEDA MADANI Tahun 2024 di Perkarangan Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh, Jitra, hari ini.
Tambah beliau, kerjasama ini juga membuka peluang baharu kepada usahawan KEDA, khususnya dalam bidang pertanian, untuk memasarkan produk mereka dengan sokongan dan kepakaran yang disediakan oleh FAMA.
“Ini adalah langkah strategik bagi memastikan produk usahawan KEDA bukan sahaja dipasarkan secara efektif tetapi turut meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap hasil tempatan,” jelasnya lagi.
Program Jualan Kasih KEDA MADANI yang dianjurkan sebelum ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat dan dilihat sebagai inisiatif murni untuk membantu meringankan beban rakyat.