BENGKEL HRMIS-MODUL PENGURUSAN PRESTASI (SUB-MODUL MYPERFORMANCE) KEDA
ALOR SETAR – Seramai 58 pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), termasuk Pentadbir HRMIS yang terlibat dalam Pengurusan Prestasi MyPerformance, telah menghadiri Bengkel HRMIS-Modul Pengurusan Prestasi (Sub-Modul MyPerformance) KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Bengkel yang berlangsung pada 8 hingga 9 Januari 2025 inu dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama Angsana. Ianya telah dianjurkan oleh Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM), Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), dengan kerjasama Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), serta Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para peserta mengenai proses penyediaan Sasaran Kerja Utama (SKU) dalam usaha menyokong pembangunan Sub-Modul MyPerformance yang menggantikan Sasaran Kerja Tahunan (SKT).
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Bengkel dua hari itu dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKDW iaitu Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Sumber Manusia, Encik Muhammad Zuhaili bin Rosli dan Penolong Setiausaha Pengurusan Sumber Manusia, Puan Alia binti Ahmad Nasir serta Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Azrali bin Aris.
Selain itu, bengkel ini juga bertujuan memberikan pendedahan dan bimbingan khusus kepada pegawai KEDA mengenai proses pembangunan, semakan, dan penetapan SKU di peringkat bahagian, zon, dan unit.
Diharapkan, peserta dapat melaksanakan proses tersebut dengan efisien ke dalam Sub-Modul HRMIS selepas tamat sesi bengkel.
Bengkel ini menjadi platform penting untuk memastikan proses pengurusan prestasi di KEDA selaras dengan perkembangan terkini teknologi pengurusan sumber manusia, sekali gus menyokong usaha KEDA dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan prestasi organisasi.