SESI KUNJUNG HORMAT DAN JARINGAN KERJASAMA KEDA-UPM

SESI KUNJUNG HORMAT DAN JARINGAN KERJASAMA KEDA-UPM

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima kunjungan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu sesi perbincangan jaringan kerjasama yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, di sini.
Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Cengal, Aras 4, dipengerusikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, bersama pegawai daripada Bahagian Niagatani (BNT) KEDA.
Taklimat mengenai peranan dan operasi KEDA turut disampaikan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang fungsi agensi dalam pembangunan luar bandar.
Delegasi UPM yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pembangunan Komuniti, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni, mewakili Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, turut berkongsi maklumat mengenai peranan UCTC dan program-program yang telah dijalankan.
Dalam sesi perbincangan itu, UPM mengemukakan beberapa cadangan kerjasama dengan KEDA, antaranya memperkukuhkan pembangunan dalam sektor pertanian, keusahawanan dan modal insan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Selain itu, UPM turut mencadangkan program latihan komuniti bagi memperkasakan kemahiran kumpulan sasar melalui penglibatan tenaga pakar dari universiti.
Kerjasama dalam bidang latihan staf dan pelatih turut dibincangkan bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja KEDA menerusi pemantapan kemahiran dalam bidang Subject Matter Expert (SME) serta penyediaan pakar rujuk bagi memperkasa penyampaian organisasi.
Selain itu, cadangan turut merangkumi pembangunan belia luar bandar dan komuniti Orang Asli dengan memberi penekanan kepada kemahiran rentas bidang yang merangkumi aspek fizikal, mental dan digital.
UPM juga mencadangkan kerjasama dalam inisiatif kecemerlangan pembangunan luar bandar serta penerbitan bahan ilmiah berkaitan kajian dan modul pembangunan komuniti.
Jalinan kerjasama yang dibincangkan ini diharap dapat memperkukuhkan usaha KEDA dalam membangunkan komuniti luar bandar dengan lebih sistematik dan berkesan, selaras dengan visi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat di negeri Kedah.