KEDA DAN MARDI ADAKAN MESYUARAT KERJASAMA STRATEGIK
SELANGOR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan mesyuarat kerjasama strategik di Ibu Pejabat MARDI Technology Commercialization Centre (MTBC), Serdang, hari ini.
Mesyuarat yang bermula pada jam 9.30 pagi itu diketuai oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, bersama Pengurus Bahagian Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor serta pegawai-pegawai dari Bahagian Niagatani KEDA.
Perbincangan utama mesyuarat ini tertumpu kepada pemerkasaan sektor pertanian dan industri asas tani di wilayah Kedah melalui pemindahan teknologi, peningkatan produktiviti pertanian, serta program latihan dan pembangunan usahawan tempatan.
Sebagai sebahagian daripada sesi lawatan kerja ini, delegasi KEDA turut dibawa meninjau projek dan produk inovasi yang diusahakan oleh MARDI bagi melihat secara langsung potensi teknologi yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan sektor pertanian di Kedah.
Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tani di negeri Kedah untuk meningkatkan daya saing serta memastikan sektor pertanian terus berkembang selari dengan arus pemodenan teknologi.