11 KELUARGA MENERIMA RUMAH PPRS DI DESA KEDA DAERAH PENDANG DAN POKOK SENA

11 KELUARGA MENERIMA RUMAH PPRS DI DESA KEDA DAERAH PENDANG DAN POKOK SENA

ALOR SETAR – Seramai 11 buah keluarga membabitkan sembilan pasangan suami isteri dan dua penerima ibu tunggal telah menerima tawaran untuk menduduki perumahan KEDA di daerah Pendang dan Pokok Sena.
Penyerahan tawaran membabitkan tujuh buah bina baru berkonsepkan K-Home manakala selebihnya rumah sedia ada yang dinaiktaraf setelah dikosongkan oleh peserta lama.
Penyerahan tawaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Omar, turut serta Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias Hassan, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 3 (Pendang/Pokok Sena), Encik Mohd Hafiz Ahmad serta kakitangan KEDA yang lain.
Didalam ucapannya, Hajah Afifah menasihatkan agar semua peserta menjaga rumah yang telah diberikan dengan baik dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan imej KEDA.
Beliau juga berharap agar semua peserta dapat bekerjasama dalam menjalankan aktiviti dan program di desa-desa KEDA kelak.
Beliau berkata demikian didalam satu sesi penyerahan tawaran dan ikrar kependudukan yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA baru-baru ini.
Kesemua peserta yang dipilih telah melalui beberapa tapisan khusus antaranya ujian AADK, temuduga dan siasatan diperingkat komuniti mereka tinggal.
Kesemua peserta yang dipilih daripada ratusan permohonan yang diterima masuk ke Desa KEDA menepati syarat khas yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Peserta KEDA.
KEDA membelanjakan RM553,000.00 untuk membina tujuh buah rumah K-Home dan RM80,000 untuk membaikpulih empat buah rumah sediaada sebelum diserahkan kepada peserta.
Pada tahun 2025, KEDA merancang untuk membina 20 buah rumah baru berkonsepkan K-Home di tapak-tapak kosong di Desa-Desa KEDA seluruh negeri Kedah.