KOLABORASI KEDA DAN MYDIN BERIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT KULIM

KOLABORASI KEDA DAN MYDIN BERIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT KULIM

KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menjalinkan kolaborasi strategik dengan rangkaian pemborong dan peruncit tempatan terkenal tanah air, MYDIN menerusi pembukaan cawangan baharu MYDIN di KEDA Mall@Kulim.
Inisiatif ini dijangka membawa limpahan manfaat kepada rakyat, khususnya golongan miskin dan masyarakat luar bandar di kawasan tersebut.
Majlis perasmian pembukaan pasar raya baharu ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom di KEDA Mall@Kulim, Kedah, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, Pengerusi KEDA Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Hasmuni bin Hassan, Pengerusi KEDA Properties And Management Sdn Bhd, Dato’ Shaiful Hazizy Bin Zainol Abidin, Pengarah Urusan Iman Ikhlas (M) Sdn Bhd Mydin Wilayah Utara, Dato’ Dr. Haji Saduruddin Gulam Husen, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Dalam ucapannya, Pengerusi KEDA menyatakan bahawa kolaborasi ini adalah selari dengan gerak kerja baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kolaborasi ini banyak membantu KEDA, khususnya dalam pembangunan anak syarikat kami, KEDA Holdings Sdn Bhd. Pembukaan pusat beli-belah ini adalah manifestasi usaha bagi memastikan kemajuan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat, tanpa mengira sama ada mereka berada di bandar atau luar bandar,” katanya.
Pasar raya dua tingkat yang berkeluasan lebih 30,000 kaki persegi ini diselenggara oleh anak syarikat KEDA, KEDA Properties Sdn Bhd, dan menawarkan lebih 23,000 unit simpanan stok (SKU) merangkumi barangan keperluan harian, keperluan dapur, aksesori, pakaian, serta barangan pasar segar.
MYDIN di KEDA Mall@Kulim merupakan cawangan ke-70 di seluruh negara dan cawangan ketiga di Kedah selepas Sungai Petani dan Alor Setar.
Diharapkan dengan pembukaan cawangan baharu ini, rakyat Kulim khususnya penduduk luar bandar dapat menikmati akses kepada barangan berkualiti dengan harga berpatutan serta menerima limpahan manfaat daripada perkembangan ekonomi dan teknologi yang dibawa oleh MYDIN.