KEDA FC JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK DAERAH KUBANG PASU
KUBANG PASU – Pasukan Bola Sepak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA FC) berjaya merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Bola Sepak Daerah Kubang Pasu selepas menewaskan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP FC) menerusi sepakan penalti dengan keputusan 4-2.
Perlawanan akhir Liga Bola Sepak Piala Pegawai Daerah MPKP yang berlangsung pada malam khamis lalu menyaksikan aksi sengit antara kedua-dua pasukan.
Perlawanan asal berakhir dengan keputusan seri, memaksa ia diheret ke masa tambahan, namun, tiada tambahan jaringan dihasilkan, menyebabkan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Dalam penentuan sepakan penalti, KEDA FC mempamerkan ketenangan dan ketajaman pasukan, sekaligus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Pegawai Daerah Kubang Pasu, Encik Muhamad Mahazi bin Haji Ibrahim, telah menyampaikan pingat dan piala kejuaraan kepada pasukan KEDA FC sebagai tanda penghormatan atas kejayaan mereka.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Encik Meor Ismail bin Meor Akim, Timbalan Pengerusi KEDA, Dato’ Wira Wan Uzir, Ahli Lembaga Pengarah KEDA, Dato’ Aminuddin Omar, serta Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat pasukan KEDA FC, tetapi juga membuktikan semangat juang dan kesungguhan pemain dalam mengharumkan nama pasukan.
Tahniah dan syabas kepada semua pemain serta pasukan kejurulatihan yang telah berusaha keras bagi memastikan kejayaan ini.