WALKABOUT PENGHASILAN KRAFTANGAN BULUH DESA KEDA SUNGAI SENAM ANGKAT PRODUK TEMPATAN
SIK – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah KKDW Kedah (KEDA) Zon 4, Sik melalui Sungai Senam Artisan telah menganjurkan Walkabout Penghasilan Kraftangan Buluh Desa KEDA Sungai Senam dengan matlamat memperkasa industri kraf tempatan berasaskan buluh.
Program ini diketuai oleh Pengasas Sungai Senam Artisan, Cik Bolhainie Tor bersama dua rakan kongsi, Puan Latipah binti Omar dan Puan Nor Amalina binti Ishak. Mereka mengetengahkan perniagaan wanita dengan memanfaatkan buluh sebagai sumber utama dalam penghasilan produk kraf dan rekaan dalaman.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, serta Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Kehadiran Penolong Pengurus Niagatani, Puan Nor Juhaini binti Jamaludin, serta wakil dari Bahagian Pembangunan Usahawan dan Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA turut menyerikan program ini.
Bertemakan “Buluh sebagai Sumber Utama”, program ini menampilkan pelbagai produk berasaskan buluh dengan sentuhan kreatif, sekali gus mengangkat produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, Sungai Senam Artisan turut memperkenalkan konsep Interior Design bertemakan buluh yang dijangka mampu mencipta fenomena baharu dalam dunia reka bentuk dalaman.
Bagi meningkatkan kualiti produk, program ini turut mendapat bimbingan dan konsultasi daripada Dr Syed Saifulazry Osman Al Edrus dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai penasihat utama dalam pemilihan dan pemprosesan bahan.
Sungai Senam Artisan juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Hang Terra Bamboo Sdn Bhd dan The Forest Bamboo Sdn Bhd, bagi memperluaskan potensi produk buluh tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk meneroka potensi buluh sebagai sumber ekonomi yang mampan, sejajar dengan usaha KEDA dalam memperkasa komuniti luar bandar.