MAJLIS IFTAR ADALAH PENGHARGAAN BUAT PENDUDUK DESA KEDA

MAJLIS IFTAR ADALAH PENGHARGAAN BUAT PENDUDUK DESA KEDA

Pokok Sena – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) saban tahun berusaha mengadakan majlis berbuka puasa atau iftar di hampir keseluruhan desa-desa KEDA yang berjumlah 56 buah penempatan dalam negeri Kedah. Usaha ini dilaksanakan sebagai salah satu program pembangunan modal insan yang khusus buat masyarakat, malah ia juga salah satu cara KEDA menghargai penduduk.
Perkara berkenaan dinyatakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Timbalan Pengerusi KEDA semasa merasmikan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Pokok Sena yang diadakan di Desa KEDA Batu 13.
Beliau turut berkata bahawa penduduk di setiap Desa KEDA adalah sebahagian daripada keluarga besar KEDA dan secara tak langsung membawa nama KEDA ke dalam lingkungan masyarakat. Maka adalah menjadi sebahagian tanggungjawab penduduk Desa KEDA untuk menjaga nama baik KEDA dengan mematuhi segala arahan yang diberikan. Kerana tahap kemajuan penduduk dalam Desa KEDA turut menjadi pengukur kepada keberkesanan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan.
“Pesanan yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi KEDA berkenaan menjadi nasihat yang perlu dipandang serius dan diterjemahkan dengan tindakan sewajarnya.”, kata Encik Uzir bin Mohamad, Pengerusi 4P Desa KEDA Batu 13 semasa ditemui dalam majlis.
Majlis Iftar KEDA Madani kali ini turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pokok Sena, Encik Mohd Zainul Fitri bin Dato’ Haji Mat Noh, Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 3 Pendang/Pokok Sena, Encik Mohd Hafiz bin Ahmad.
Majlis yang dihadiri sekitar 300 orang penduduk turut disertai 50 orang pegawai dan kakitangan KEDA yang bertugas di Ibu Pejabat. Penyertaan kakitangan dapat menambah pengalaman buat mereka dalam menyokong usaha KEDA membangunkan masyarakat.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di Desa KEDA Batu 13 Pokok Sena.
——————————-
📸 Untuk mendapatkan gambar-gambar aktiviti di atas, sila klik pautan berikut;
——————————-