MAJLIS BERBUKA PUASA PERDANA KOLEJ KEDA 2025 SANTUNI PELAJAR DAN TENAGA KERJA

MAJLIS BERBUKA PUASA PERDANA KOLEJ KEDA 2025 SANTUNI PELAJAR DAN TENAGA KERJA

SIK – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berjaya menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana bagi tahun 2025 yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keharmonian di sini.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom yang turut menyampaikan amanat penting berkaitan inisiatif pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar.
Kehadiran mereka mencerminkan komitmen KEDA dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan berkualiti.
Sebagai sebahagian daripada majlis ini, telah diadakan jug Penyampaian Watikah Perlantikan Majlis Perwakilan Pelajar Kolej KEDA bagi sesi 2025 menandakan permulaan rasmi peranan dan tanggungjawab mereka dalam mewakili suara pelajar serta menyumbang kepada pembangunan kolej.
Dalam ucapannya, Dato’ Seri Jamil Khir turut menyentuh beberapa inisiatif utama, termasuk pengukuhan program Tahfiz TVET, hala tuju Majlis TVET Negara serta kadar kebolehpasaran graduan Kolej KEDA yang semakin meningkat hasil daripada program latihan yang relevan dengan keperluan industri.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa serta barisan pengurus bahagian KEDA. Kehadiran para tetamu kehormat dan komuniti kolej menyerlahkan semangat kebersamaan serta komitmen dalam memperkasakan pendidikan TVET di negeri Kedah.
Majlis diakhiri dengan sesi berbuka puasa beramai-ramai, menandakan keakraban dan jalinan ukhuwah antara para pelajar, tenaga pengajar, serta pihak pengurusan KEDA dalam menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan.