MAJLIS IFTAR DESA KEDA BUKIT KURA PERKUKUH UKHWAH PENDUDUK

MAJLIS IFTAR DESA KEDA BUKIT KURA PERKUKUH UKHWAH PENDUDUK

PADANG TERAP – Majlis Iftar Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Bukit Kura yang dianjurkan oleh Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap dengan kerjasama Jawatankuasa 4P Desa KEDA Bukit Kura telah berlangsung dengan jayanya semalam.
Majlis ini dihadiri oleh kira-kira 150 orang penduduk setempat, mencerminkan semangat kebersamaan dan keakraban dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.
Program dimulakan sekitar jam 7.00 malam dengan bacaan tahlil ringkas yang diketuai oleh Ustaz Ahmad bin Mohamad Amin, diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama.
Setelah itu, para hadirin menunaikan solat Maghrib, Isyak, serta solat sunat Tarawih secara berjemaah, mengimarahkan lagi suasana Ramadan dalam komuniti.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Pembangunan KEDA Zon 2, Encik Shahurin bin Md Isa, bersama Puan Norhafizah binti Mashor selaku Penyelia Desa KEDA Bukit Kura.
Turut hadir ialah Encik Syaril bin Idris, Puan Faiznur binti Mohd Radzhi, serta Penolong Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasarana KEDA, Puan Idawati binti Wahab.
Menurut pihak penganjur, majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pegawai KEDA dan ia juga mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuhkan ukhuwah dan menghidupkan suasana Ramadan dalam komuniti.
Pejabat KEDA Zon 2 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa 4P dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.
Semoga segala usaha yang dilakukan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.