Berita

TIMBALAN MENTERI KKDW LAWAT KOLEJ KEDA SIK, TELITI PELAKSANAAN TVET

TIMBALAN MENTERI KKDW LAWAT KOLEJ KEDA SIK, TELITI PELAKSANAAN TVET

SIK – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB. Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah mengadakan lawatan kerja ke Kolej KEDA Sik bagi meninjau pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melihat sendiri kemudahan latihan yang disediakan kepada para pelajar.
Lawatan dimulakan di Jabatan Teknologi Elektrik, di mana YB. Datuk Hajah Rubiah diberi taklimat mengenai pengenalan teknologi solar yang telah mula diterapkan dalam modul pembelajaran tahun ini.
Beliau kemudiannya dibawa ke Jabatan Teknologi Automotif, dan diperkenalkan dengan enjin kenderaan elektrik (EV) yang menjadi komponen baharu dalam kurikulum pengajian pelajar sebagai satu langkah strategik dalam mempersiapkan pelajar menghadapi perubahan landskap industri automotif.
Lawatan diteruskan ke Jabatan Teknologi Kimpalan, dan demonstrasi fabrikasi telah dipersembahkan oleh pelajar. Demonstrasi ini memperlihatkan kemahiran teknikal dan ketelitian kerja tangan yang diasah melalui latihan berstruktur di kolej tersebut.
Seterusnya, YB. Datuk Hajah Rubiah turut melawat Jabatan Teknologi Motosikal, yang mempersembahkan hasil projek inovasi motosikal oleh pelajar, mencerminkan kreativiti serta keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian berinovatif secara praktikal.
Sebagai penutup, beliau dibawa ke Jabatan Teknologi Fabrik, menyaksikan pelajar sedang menyiapkan tugasan jahitan pakaian yang diberikan oleh tenaga pengajar.
Lawatan ini mencerminkan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memastikan institusi TVET luar bandar seperti Kolej KEDA terus diperkasa dan relevan dengan kehendak industri semasa.
LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE KILANG AIR MINERAL KEDA AGROBIZ

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE KILANG AIR MINERAL KEDA AGROBIZ

SIK – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah mengadakan lawatan kerja ke Kilang Air Mineral KEDA Agrobiz Sdn. Bhd. yang terletak di Charuk Tualang, Sik.
Lawatan ini bertujuan meninjau sendiri operasi pengeluaran air mineral yang diusahakan oleh KEDA Agrobiz, anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Rombongan turut diberi penerangan mengenai proses penghasilan air mineral bermula dari punca air semula jadi bawah tanah sehingga ke proses pembotolan.
YB Timbalan Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar kilang ini untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi berikutan kualiti air yang bersumberkan mata air asli yang bersih dan berkualiti tinggi.
“Projek seperti ini sangat berpotensi dalam memperkasa ekonomi luar bandar serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Lawatan ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan KKDW dan pengurusan tertinggi KEDA.
LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE PROJEK PROSPEK DI SIK

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE PROJEK PROSPEK DI SIK

SIK – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Fertigasi Cili di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) bertempat di Charuk Tualang, Sik, Kedah.
Projek berskala sederhana yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ini melibatkan seramai 12 orang peserta dan merangkumi kawasan tanaman seluas 2.7 hektar.
Melalui projek ini, penduduk setempat berpeluang meningkatkan pendapatan menerusi penglibatan dalam aktiviti pertanian moden berasaskan teknologi fertigasi.
Projek ini turut menerima peruntukan sebanyak RM764,000 daripada KKDW.
Semasa lawatan, YB Timbalan Menteri turut dibawa meninjau kawasan tanaman serta menyaksikan demonstrasi penyediaan dan bancuhan racun serangga sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan tanaman yang sistematik.
Menurut beliau, pelaksanaan projek seperti ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah turut memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemindahan teknologi dan kemahiran pertanian moden.
Katanya, PROSPEK merupakan antara inisiatif penting dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat desa secara mampan.
Turut hadir semasa lawatan ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg Puan Hajah Afifah binti Haji Omar dan pegawai-pegawai kanan daripada KKDW, KEDA serta agensi-agensi berkaitan.
SESI LAWATAN TAPAK PROSPEK SIK DI BAWAH PROGRAM ONE VILLAGE ONE CEO (OVOC)

SESI LAWATAN TAPAK PROSPEK SIK DI BAWAH PROGRAM ONE VILLAGE ONE CEO (OVOC)

Mukim Teloi, Sik telah diadakan kelmarin sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program One Village One CEO (OVOC) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Lawatan dimulakan di tapak projek fertigasi KEDA di Charuk Tualang, yang merupakan projek berskala sederhana dan bakal melibatkan penyertaan seramai 12 orang peserta.
Projek ini bertujuan memanfaatkan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan hasil pertanian serta menjana pendapatan masyarakat setempat.
Objektif utama Program OVOC adalah untuk melahirkan graduan yang cekap dan berpengetahuan dalam bidang teknologi pertanian agar dapat menjadi pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam kalangan komuniti desa.
Delegasi lawatan diketuai oleh Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KKDW, YBhg. Datuk Azman bin Mahmood.
Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor Pengurus Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Cik Shuhaila binti Hamzah, Pegawai Pembangunan Zon 4 Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan serta wakil dari Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM).
Program ini merupakan salah satu inisiatif KKDW dalam menyokong agenda pengupayaan komuniti luar bandar menerusi pendekatan kerjasama strategik antara agensi pelaksana dan institusi pengajian tinggi.
PROGRAM AGENSI BERSAMA KOMUNITI MADANI ERATKAN HUBUNGAN ANTARA AGENSI DAN MASYARAKAT DI DESA KEDA BANDAR

PROGRAM AGENSI BERSAMA KOMUNITI MADANI ERATKAN HUBUNGAN ANTARA AGENSI DAN MASYARAKAT DI DESA KEDA BANDAR

BALING – Seramai 100 orang penduduk hadir memeriahkan Program Pembangunan Komuniti iaituTurun Padang Agensi Bersama Komuniti MADANI yang diadakan di Desa KEDA Bandar, Baling.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat KEDA Zon 5 Baling dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi mendekatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat setempat.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Baling, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sungai Petani, Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, serta Pejabat Kesihatan Daerah Baling.
Program ini bertujuan untuk memberikan maklumat serta kesedaran kepada komuniti mengenai peranan setiap agensi, dasar-dasar kerajaan terkini, dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Inisiatif ini juga membuka ruang interaksi dua hala antara agensi dan masyarakat dalam usaha membina hubungan yang lebih erat, mesra dan penuh kepercayaan.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah perkhidmatan kaunter bergerak, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan, sesi ceramah keselamatan oleh pihak Polis serta taklimat simpanan persaraan oleh KWSP.
Program ini turut menyediakan ruangan soal jawab dan sesi maklum balas secara terbuka daripada penduduk kampung.
Penganjuran program seumpama ini jelas mencerminkan komitmen agensi kerajaan dalam melaksanakan pendekatan “turun padang” dan prinsip MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, khususnya di peringkat akar umbi.
LATIHAN C4D UMS-UNICEF PERKASA KEMAHIRAN KOMUNIKASI STRATEGIK PEMBANGUNAN KOMUNITI

LATIHAN C4D UMS-UNICEF PERKASA KEMAHIRAN KOMUNIKASI STRATEGIK PEMBANGUNAN KOMUNITI

ALOR SETAR – Program Upscaling Social Development Practice through Social and Behaviour Change Communication (SBCC) Skills: A UMS-UNICEF Communication for Development (C4D) Training telah berjaya dilaksanakan pada 16 dan 17 Mei 2025 bertempat di Albukhary International University (AIU), Alor Setar.
Latihan anjuran Unit Penyelidikan Komunikasi untuk Pembangunan (C4D), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama UNICEF, AIU dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ini bertujuan memperkasa pelajar sarjana muda, pengamal pembangunan komuniti serta staf akademik dengan kemahiran dalam bidang Social and Behaviour Change Communication (SBCC).
SBCC merupakan pendekatan sistematik, berasaskan bukti dan dirancang secara strategik dalam usaha membawa perubahan sosial dan tingkah laku yang positif serta boleh diukur dalam kalangan komuniti dan pihak berkepentingan.
Modul latihan merangkumi aspek penting seperti pemahaman asas masalah tingkah laku, pemetaan responden dan pengaruh, strategi komunikasi, penyampaian mesej utama serta perancangan pemantauan dan penilaian berkesan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti Encik Mohd Azam bin Omar, mewakili pihak KEDA, dan turut dihadiri oleh Naib Canselor AIU, Dato’ Prof. Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh pembangunan komuniti melalui komunikasi strategik.
Seramai 30 peserta telah mengambil bahagian dalam program ini yang dikendalikan oleh para pensyarah berpengalaman dari Unit C4D UMS, yang telah melatih lebih 450 peserta sejak penubuhannya pada tahun 2019.
Latihan ini turut menekankan pendekatan pembelajaran partisipatif yang mendorong interaksi aktif dan perkongsian pengalaman dalam suasana kondusif.
Penganjuran latihan ini mencerminkan kerjasama antara institusi dalam memperkukuh jaringan pengamal SBCC serta meningkatkan keupayaan komuniti dalam melaksanakan intervensi sosial yang lebih berkesan dan mampan.
DESA KEDA JADI TUMPUAN PROGRAM BAKTI SISWA MAHASISWA UUM

DESA KEDA JADI TUMPUAN PROGRAM BAKTI SISWA MAHASISWA UUM

BALING – Seramai 50 orang siswa dan siswi pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah School of Tourism, Hospitality and Event Management, berkampung bersama keluarga angkat masing-masing di Desa-Desa KEDA dalam daerah Baling.

Kesemua pelajar berkenaan menjadi peserta Program Eksplorasi Sentuhan Kasih Keluarga Angkat Desa KEDA Daerah Baling Tahun 2025.
Semua pelajar yang ditemui menyatakan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program ini dan berasa teruja dengan pengalaman baru mempunyai keluarga angkat dalam kalangan penduduk Desa KEDA.
Pengalaman turun padang ini membawa pelajar lebih mengenali kehidupan di desa, merasai masakan unik dan mengetahui lebih lanjut mengenai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang berperanan besar dalam pembangunan luar bandar negeri Kedah.
Para pelajar juga bekerjasama menjayakan acara kemuncak iaitu sukaneka rakyat yang melibatkan semua keluarga angkat dan anak-anak, yang diadakan di Desa KEDA Sadek, di sini.
Hadir menyempurnakan majlis penutup program adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dengan diiringi oleh Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5 Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil.
Hadir bagi pihak pensyarah UUM adalah Pensyarah Kanan School of Tourism, Hospitality and Event Management, Dr. Mohamad Fauzi bin Mokhtar. Turut hadir adalah pemimpin masyarakat tempatan, YBhg. Dato’ Mohd Khairul Azhar bin Abdullah.
Encik Khairul Azmeer dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak UUM yang terus sudi bekerjasama dengan KEDA dalam pelbagai bidang termasuk memberi pendedahan kepada pelajar universiti mengenai usaha pembangunan desa dan luar bandar.
Beliau turut berharap agar pelajar yang menyertai program telah memperoleh kenangan yang manis dan akan kembali menziarahi keluarga angkat mereka di Desa-desa KEDA.
——————————-
📸 Gambar-gambar aktiviti ini boleh didapati melalui pautan berikut;
——————————-
AHLI LEMBAGA PENGARAH KEDA KUNJUNGI RERUAI PAMERAN TEKNOLOGI STRATEGIK

AHLI LEMBAGA PENGARAH KEDA KUNJUNGI RERUAI PAMERAN TEKNOLOGI STRATEGIK

LANGKAWI – Selaku agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi yang beroperasi di Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut hadir dalam memberi sokongan dan memeriahkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2025,l di Langkawi.
LIMA yang masuki hari kedua turut menyajikan persembahan dan pameran dengan penuh berinformasi dan produktif selain demonstrasi dan perbincangan strategik terus berlangsung di lokasi utama pameran.
YBhg. Dato’ Aminuddin Omar, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah turut hadir bagi meninjau reruai-reruai utama yang mempamerkan teknologi terkini dalam bidang pertahanan, maritim dan aeroangkasa.
YBhg. Dato’ Aminuddin turut diberi taklimat oleh beberapa pempamer antarabangsa mengenai teknologi terkini dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
LIMA 2025 terus menjadi platform strategik yang menghimpunkan ratusan pemain industri dari seluruh dunia dan bakal melabuhkan tirainya pada 24 Mei ini.
KEDA menyambut dan menyokong penuh LIMA 2025 yang memberi peluang kepada rakyat negeri Kedah khususnya melihat dengan lebih dekat jentera, pesawat keselamatan yang digunakan dari pelbagai pelosok dunia.
KEDA HADIR PERASMIAN LIMA 2025

KEDA HADIR PERASMIAN LIMA 2025

LANGKAWI – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2025, Langkawi meriah dengan dengan kehadiran para pemimpin, pemain industri dan delegasi dari dalam dan luar negara.
Majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang menyatakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh industri pertahanan dan aeroangkasa sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi negara.
Acara pembukaan turut dihangatkan dengan pertunjukan udara Gambit yang mengagumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menampilkan kecekapan, keberanian dan profesionalisme anggota pertahanan udara negara.
Turut hadir memeriahkan acara ialah YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim yang hadir bersama mengiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Ini merupakan tanda sokongan berterusan KEDA terhadap pembangunan strategik yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
LIMA 2025 menghimpunkan ratusan pempamer dari seluruh dunia yang terlibat dalam sektor pertahanan, aeroangkasa, maritim dan keselamatan. Pameran ini menjadi platform penting untuk mempamerkan inovasi terkini, memperkukuh kerjasama antarabangsa dan membuka peluang pelaburan bernilai tinggi.
Program lima hari ini akan menampilkan demonstrasi udara dan laut, pameran teknologi canggih, serta sesi jaringan profesional antara agensi kerajaan, pemain industri dan institusi pendidikan.
LIMA 2025 membuktikan kemampuan Malaysia sebagai hab utama pertahanan dan teknologi aeroangkasa serantau.
PROGRAM AGENSI BERSAMA KOMUNITI MADANI DI DESA KEDA BANGGOL PETAI

PROGRAM AGENSI BERSAMA KOMUNITI MADANI DI DESA KEDA BANGGOL PETAI

BALING – Seramai 150 orang penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Banggol Petai telah menyertai Program Agensi Bersama Komuniti Madani anjuran Pejabat KEDA Zon 5, Baling yang berlangsung baru-baru ini.
Program ini dilaksanakan bagi memberi maklumat serta meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar mengenai peranan agensi kerajaan, dasar-dasar semasa serta pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti setempat.
Selain itu, ia juga bertujuan membina hubungan yang lebih erat antara agensi dan masyarakat sekali gus meningkatkan kepercayaan serta kerjasama dua hala.
Antara agensi yang terlibat dalam program ini ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Baling, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sungai Petani dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Baling.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk kaunter perkhidmatan bergerak, ceramah kesedaran, pemeriksaan kesihatan, serta bengkel berkaitan keselamatan dan pengurusan kewangan.
Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada agensi untuk mendengar dan memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar secara langsung, sekali gus membolehkan tindakan susulan yang lebih tepat dan berkesan dilaksanakan.
Program sebegini selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan keterlibatan rakyat dalam pembangunan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh.