LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE KILANG AIR MINERAL KEDA AGROBIZ
SIK – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah mengadakan lawatan kerja ke Kilang Air Mineral KEDA Agrobiz Sdn. Bhd. yang terletak di Charuk Tualang, Sik.
Lawatan ini bertujuan meninjau sendiri operasi pengeluaran air mineral yang diusahakan oleh KEDA Agrobiz, anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Rombongan turut diberi penerangan mengenai proses penghasilan air mineral bermula dari punca air semula jadi bawah tanah sehingga ke proses pembotolan.
YB Timbalan Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar kilang ini untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi berikutan kualiti air yang bersumberkan mata air asli yang bersih dan berkualiti tinggi.
“Projek seperti ini sangat berpotensi dalam memperkasa ekonomi luar bandar serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Lawatan ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan KKDW dan pengurusan tertinggi KEDA.