LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE PROJEK PROSPEK DI SIK
SIK – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Fertigasi Cili di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) bertempat di Charuk Tualang, Sik, Kedah.
Projek berskala sederhana yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ini melibatkan seramai 12 orang peserta dan merangkumi kawasan tanaman seluas 2.7 hektar.
Melalui projek ini, penduduk setempat berpeluang meningkatkan pendapatan menerusi penglibatan dalam aktiviti pertanian moden berasaskan teknologi fertigasi.
Projek ini turut menerima peruntukan sebanyak RM764,000 daripada KKDW.
Semasa lawatan, YB Timbalan Menteri turut dibawa meninjau kawasan tanaman serta menyaksikan demonstrasi penyediaan dan bancuhan racun serangga sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan tanaman yang sistematik.
Menurut beliau, pelaksanaan projek seperti ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah turut memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemindahan teknologi dan kemahiran pertanian moden.
Katanya, PROSPEK merupakan antara inisiatif penting dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat desa secara mampan.
Turut hadir semasa lawatan ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg Puan Hajah Afifah binti Haji Omar dan pegawai-pegawai kanan daripada KKDW, KEDA serta agensi-agensi berkaitan.