KEDA SERTAI KARNIVAL KOMUNITI MADANI DI KODIANG

KEDA SERTAI KARNIVAL KOMUNITI MADANI DI KODIANG

KODIANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) telah membuka kaunter pameran khidmat pelanggan sempena Karnival Komuniti Madani Kodiang yang berlangsung baru-baru ini.
Karnival ini merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bendahara.
Program ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang hadir untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang disediakan.
Kaunter khidmat pelanggan KEDA menjadi tumpuan ramai, khususnya bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai bantuan ekonomi, program pembangunan usahawan, serta skim bantuan rumah yang ditawarkan kepada masyarakat luar bandar.
Kehadiran KEDA dalam program ini memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai KEDA dan mendapatkan penerangan lebih jelas mengenai inisiatif yang boleh dimanfaatkan.
Selain itu, KEDA juga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan program-program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Penyertaan KEDA dalam karnival ini selari dengan matlamatnya untuk terus menyantuni masyarakat desa serta memastikan golongan sasaran mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dirancang.
WALKABOUT PENGHASILAN KRAFTANGAN BULUH DESA KEDA SUNGAI SENAM ANGKAT PRODUK TEMPATAN

WALKABOUT PENGHASILAN KRAFTANGAN BULUH DESA KEDA SUNGAI SENAM ANGKAT PRODUK TEMPATAN

SIK – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah KKDW Kedah (KEDA) Zon 4, Sik melalui Sungai Senam Artisan telah menganjurkan Walkabout Penghasilan Kraftangan Buluh Desa KEDA Sungai Senam dengan matlamat memperkasa industri kraf tempatan berasaskan buluh.
Program ini diketuai oleh Pengasas Sungai Senam Artisan, Cik Bolhainie Tor bersama dua rakan kongsi, Puan Latipah binti Omar dan Puan Nor Amalina binti Ishak. Mereka mengetengahkan perniagaan wanita dengan memanfaatkan buluh sebagai sumber utama dalam penghasilan produk kraf dan rekaan dalaman.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, serta Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Kehadiran Penolong Pengurus Niagatani, Puan Nor Juhaini binti Jamaludin, serta wakil dari Bahagian Pembangunan Usahawan dan Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA turut menyerikan program ini.
Bertemakan “Buluh sebagai Sumber Utama”, program ini menampilkan pelbagai produk berasaskan buluh dengan sentuhan kreatif, sekali gus mengangkat produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, Sungai Senam Artisan turut memperkenalkan konsep Interior Design bertemakan buluh yang dijangka mampu mencipta fenomena baharu dalam dunia reka bentuk dalaman.
Bagi meningkatkan kualiti produk, program ini turut mendapat bimbingan dan konsultasi daripada Dr Syed Saifulazry Osman Al Edrus dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai penasihat utama dalam pemilihan dan pemprosesan bahan.
Sungai Senam Artisan juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Hang Terra Bamboo Sdn Bhd dan The Forest Bamboo Sdn Bhd, bagi memperluaskan potensi produk buluh tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk meneroka potensi buluh sebagai sumber ekonomi yang mampan, sejajar dengan usaha KEDA dalam memperkasa komuniti luar bandar.
PROGRAM HARI KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL FASA 2.0 TINGKAT KESEDARAN KEBERSIHAN KOMUNITI

PROGRAM HARI KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL FASA 2.0 TINGKAT KESEDARAN KEBERSIHAN KOMUNITI

BALING – Seramai 150 orang penduduk Desa KEDA Bandar diadakan Program Hari Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal Fasa 2.0 yang berlangsung di Desa KEDA Bandar baru-baru ini.
Program yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 5, Baling ini bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta mengurus sisa pepejal dengan lebih sistematik.
Pelbagai pengisian bermanfaat telah dijalankan, termasuk taklimat daripada pihak pengurusan KEDA dan syarikat E-Idaman yang menekankan aspek kepentingan pengurusan sampah secara teratur bagi menjamin kebersihan persekitaran.
Selain itu, program ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan Beras Rahmah kepada penduduk yang memerlukan, sebagai salah satu inisiatif kebajikan untuk komuniti setempat.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesedaran penduduk terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan mengamalkan sistem pengurusan sampah yang lebih cekap, sekali gus memastikan kesejahteraan serta keharmonian persekitaran Desa KEDA Bandar.
PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA DESA KEDA WANG TOK RENDONG MERIAH

PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA DESA KEDA WANG TOK RENDONG MERIAH

LANGKAWI – Program Gotong-Royong Perdana Desa KEDA Wang Tok Rendong telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini, melibatkan seramai 70 orang penduduk dari pelbagai peringkat umur termasuk golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak.
Program dimulakan dengan taklimat mengenai kawasan yang menjadi fokus pembersihan, antaranya sekitar dewan orang ramai, masjid, kawasan tanah perkuburan, serta laluan minitar ke Sekolah Kebangsaan Seri Lagenda.
Semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh para peserta mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebersihan serta kesejahteraan komuniti.
Sebagai penghargaan kepada peserta yang terlibat, sesi cabutan bertuah turut diadakan, dengan hadiah berupa barangan dapur bagi meringankan beban keluarga menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Program ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama erat antara Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Wang Tok Rendong (DKWTR), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) DKWTR, Kelab Belia DKWTR, dan Kariah Masjid As-Sofiah DKWTR yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini.
Semangat gotong-royong seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan persekitaran desa kekal bersih dan harmoni.
KEDA FC JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK DAERAH KUBANG PASU

KEDA FC JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK DAERAH KUBANG PASU

KUBANG PASU – Pasukan Bola Sepak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA FC) berjaya merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Bola Sepak Daerah Kubang Pasu selepas menewaskan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP FC) menerusi sepakan penalti dengan keputusan 4-2.
Perlawanan akhir Liga Bola Sepak Piala Pegawai Daerah MPKP yang berlangsung pada malam khamis lalu menyaksikan aksi sengit antara kedua-dua pasukan.
Perlawanan asal berakhir dengan keputusan seri, memaksa ia diheret ke masa tambahan, namun, tiada tambahan jaringan dihasilkan, menyebabkan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Dalam penentuan sepakan penalti, KEDA FC mempamerkan ketenangan dan ketajaman pasukan, sekaligus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Pegawai Daerah Kubang Pasu, Encik Muhamad Mahazi bin Haji Ibrahim, telah menyampaikan pingat dan piala kejuaraan kepada pasukan KEDA FC sebagai tanda penghormatan atas kejayaan mereka.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Encik Meor Ismail bin Meor Akim, Timbalan Pengerusi KEDA, Dato’ Wira Wan Uzir, Ahli Lembaga Pengarah KEDA, Dato’ Aminuddin Omar, serta Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat pasukan KEDA FC, tetapi juga membuktikan semangat juang dan kesungguhan pemain dalam mengharumkan nama pasukan.
Tahniah dan syabas kepada semua pemain serta pasukan kejurulatihan yang telah berusaha keras bagi memastikan kejayaan ini.
PASUKAN BOLA TAMPAR KEDA MERIAHKAN KEJOHANAN BOLA TAMPAR BENDANG PESTA ANGIN TIMUR NEGERI PERLIS 2025

PASUKAN BOLA TAMPAR KEDA MERIAHKAN KEJOHANAN BOLA TAMPAR BENDANG PESTA ANGIN TIMUR NEGERI PERLIS 2025

ARAU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menarik perhatian di Pesta Angin Timur Perlis 2025 apabila menghantar 2 pasukan bagi menyertai Kejohanan Bola Tampar Bendang sempena pesta tersebut.
Seramai 15 orang hadir mewakili KEDA yang terdiri daripada staf bahagian/unit dan pejabat zon agensi ini.
Kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menjadi johan kumpulan masing-masing namun kedua-duanya terkandas di pusingan suku akhir.
Pesta Angin Timur merupakan salah satu tradisi unik masyarakat Perlis yang berlangsung sejak 2011, diadakan bersempena dengan musim angin timur.
Ketika sawah padi kering dan tidak ditanam, kawasan bendang menjadi lapangan terbuka untuk pelbagai aktiviti.
Antara permainan tradisional yang diadakan sempena pesta ini termasuk wau, layang-layang, bola jaring bendang dan bola tampar bendang.
Pertandingan seperti ini merupakan terbaru bagi pasukan bola tampar KEDA yang juga pernah beraksi di acara pantai ketika Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) 2024.
Dengan keunikan acara, ianya berupaya menarik perhatian penduduk tempatan mahupun orang luar dalam merasai kehangatan Pesta Angin Timur ini.
KURSUS PEMANTAPAN KOPERASI DESA LESTARI SIRI 1 TINGKAT PENGURUSAN OPERASI DAN KEWANGAN

KURSUS PEMANTAPAN KOPERASI DESA LESTARI SIRI 1 TINGKAT PENGURUSAN OPERASI DAN KEWANGAN

KANGAR – Kursus Pemantapan Koperasi Desa Lestari Siri 1 telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini bertempat di Hotel Putra Regency, Kangar, dengan objektif utama untuk memperkukuh pengurusan operasi serta pengurusan kewangan koperasi.
Seramai 10 peserta daripada lima Koperasi Desa Lestari yang terpilih, terdiri daripada sektor pelancongan dan sewaan jentera berat, telah menyertai kursus ini.
Selain sesi pembelajaran di dalam kelas, peserta turut dibawa ke Gua Kelam untuk melihat secara langsung sistem operasi pelancongan di lokasi tersebut serta merasai sendiri pengalaman menyelusuri Gua Kelam 2.
Perasmian kursus disempurnakan oleh Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, yang mewakili Tuan Pengurus Besar.
Beliau turut menyampaikan amanat serta penekanan terhadap kepentingan pengurusan yang cekap dalam memperkasakan koperasi desa.
Turut hadir ialah Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Puan Shuhaila binti Hamzah, bersama pegawai-pegawai pengiring dari Zon 3, 4, 5 dan 7.
Penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat atas komitmen penuh dalam menjayakan kursus ini. Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam memperkasakan koperasi masing-masing ke arah pembangunan desa yang lestari.
MAJLIS PERJUMPAAN PASUKAN RELA KAWALAN KESELAMATAN PREMIS KEDA BERSAMA PENGURUS BESAR

MAJLIS PERJUMPAAN PASUKAN RELA KAWALAN KESELAMATAN PREMIS KEDA BERSAMA PENGURUS BESAR

ALOR SETAR – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah menyampaikan amanat khas kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Kedah yang dilantik sebagai penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan di premis KEDA.
Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Angsana, Kompleks Ibu Pejabat KEDA ini bertujuan memberi pesanan serta garis panduan kepada anggota RELA agar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme dalam memastikan keselamatan premis-premis KEDA terjamin.
Perkhidmatan kawalan keselamatan RELA akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik, antaranya KEDA Business Centre (KBC) Pokok Sena, Pusat Sosial Ekonomi KEDA (KESOC) Langkawi, Pembangunan Bandar Agropolitan KEDA Sungai Namek, Sik serta premis-premis KEDA di 14 lokasi lain di seluruh Kedah.
Dengan pelantikan ini, KEDA yakin keselamatan premis dan kelancaran operasi dapat diperkukuhkan, sekali gus memberikan persekitaran yang lebih selamat kepada masyarakat setempat yang bergantung kepada kemudahan dan perkhidmatan KEDA.
KEDA SOKONG PROGRAM KHAS PERALIHAN LMM KELAS B2/B1 KEPADA LMM KELAS B

KEDA SOKONG PROGRAM KHAS PERALIHAN LMM KELAS B2/B1 KEPADA LMM KELAS B

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyokong inisiatif kerajaan Madani dengan menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B, sekali gus menjadi agensi pertama yang berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah dan Konsortium Villamaju Sdn. Bhd. dalam pelaksanaan program ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, berkata seramai 68 pegawai dan kakitangan KEDA berjaya memperoleh lesen B Penuh melalui program ini, membuktikan komitmen KEDA dalam memastikan keselamatan serta pematuhan peraturan jalan raya dalam kalangan kakitangannya.
Selain menyokong penuh program ini, KEDA sangat menitikberatkan aspek keselamatan kakitangan dan menggalakkan mereka memiliki lesen yang sah bagi memastikan kelancaran urusan kerja serta keselamatan di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutup dan Serahan Lesen B Penuh yang dianjurkan oleh KEDA dengan kerjasama JPJ dan Institut Memandu Konsortium Villamaju (KV), hari ini.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Encik Meor Ismail bin Meor Akim, Ketua Bahagian Perlesenan Pemandu JPJ Negeri Kedah, Encik Mohd Mahazir bin Abdul Majid, Pengarah Operasi Institut Memandu Konsortium Villamaju Sdn. Bhd., Encik Irham Satria bin Hamdi dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Majlis disempurnakan dengan simbolik serahan lesen kepada peserta program, diikuti lawatan ke garaj motosikal bagi menyaksikan demonstrasi sesi ujian JPJ.
Sebagai makluman, Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B telah mula dilaksanakan sejak 1 Oktober 2024, membolehkan pemegang lesen motosikal B2 dan B1 menaik taraf lesen mereka kepada kelas B penuh melalui prosedur yang ditetapkan oleh JPJ.
KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA KKDW KE KEDA

KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA KKDW KE KEDA

ALOR SETAR – Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Encik Meor Ismail bin Meor Akim, telah mengadakan kunjung hormat ke Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, baru-baru ini.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, bersama Pengurus Hartanah dan Prasarana (BHP) KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan dan Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Cik Shuhaila binti Hamzah.
Dalam sesi pertemuan tersebut, perbincangan kerja diadakan antara TKSU (P) KKDW dan pihak pengurusan KEDA bagi membincangkan isu pembangunan serta inisiatif yang dapat memperkasakan peranan KEDA dalam pembangunan luar bandar.
Selepas sesi perbincangan, TKSU (P) KKDW turut menghadiri Majlis Program Khas B Full KEDA yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan Institut Memandu Konsortium Villamaju Sdn. Bhd. di Tanjung Musang, Langgar.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen KKDW dalam menyokong usaha pembangunan masyarakat luar bandar melalui program dan inisiatif yang dijalankan oleh KEDA.