SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT DESA KEDA SUNGAI KECHIL ILIR

SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT DESA KEDA SUNGAI KECHIL ILIR

BANDAR BAHARU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu dengan kerjasama Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Sungai Kechil Ilir telah mengadakan Majlis Ceramah Agama Sempena Sambutan Awal Muharam 1446 Hijrah yang bertempat di pekarangan surau Desa KEDA ini.
Majlis ceramah kali ini berjaya mendapat bimbingan Ustaz Lutfi Amir bin Saidin yang membicarakan mengenai usaha pembangunan komuniti yang telah dilakukan oleh Baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW semasa peristiwa hijrah yang dilalui Baginda. Beliau merujuk kepada kejayaan Baginda Nabi mempersaudarakan dua kaum yang telah lama bertelagah iaitu kaum Aus dan Khazraj. Baginda Nabi juga telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin. Inilah antara contoh yang harus diambil melalui peristiwa Hijrah untuk diterapkan dalam masyarakat dengan nilai utama iaitu suci hati dan kerjasama.
Ustaz Lutfi Amir turut berkongsi panduan untuk masyarakat dalam usaha mengubah diri daripada keadaan sedia ada kepada yang lebih baik. Antaranya ialah keperluan mencari kawan yang baik atau sekurang-kurangnya perlu berada dalam kelompok masyarakat yang baik. Cara demikian mampu membantu untuk kita menjalani perubahan atau hijrah daripada perbuatan yang tidak baik kepada yang baik.
Ceramah kali ini dihadiri penduduk Desa KEDA Sungai Kechil Ilir serta penduduk sekitarnya. Turut hadir adalah Encik Muhammad Noorhisham bin Taib, Pegawai Pembangunan KEDA Zon, 9 Bandar Baharu serta pimpinan masyarakat sekitar.
PEJABAT KEDA ZON 8 (KOTA SETAR/KUBANG PASU) ANJUR KURSUS ASAS PENYEMBELIHAN

PEJABAT KEDA ZON 8 (KOTA SETAR/KUBANG PASU) ANJUR KURSUS ASAS PENYEMBELIHAN

KUBANG PASU – Pejabat KEDA Zon 8, Kota Setar/Kubang Pasu dengan jayanya telah menganjurkan Program Pendampingan Bersama Pemimpin Masyarakat : Kursus Asas Penyembelihan yang bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Lahar, Malau, Jitra.
Program yang berlangsung ini dimulakan dengan sesi ceramah yang memberi penerangan tentang teknik penyembelihan yang betul mengikut patuh syarak (halal). Peserta kursus kemudiannya berpeluang untuk merasai pengalaman menyembelih kambing dan ayam mengikut syarak (halal).
Matlamat kursus ini adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam kepada peserta mengenai pentingnya mempelajari cara-cara penyembelihan yang patuh syarak (halal).
Program ini telah mencapai objektifnya dengan kehadiran seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat dalam Parlimen Kubang Pasu.
Penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh, Ahli Lembaga Pengarah KEDA, Dato’ Aminuddin bin Omar. Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar serta Pegawai Pembangunan KEDA Zon 8, Encik Muhamad Ramlan bin Jaafar.
Program ini menunjukkan komitmen Pejabat KEDA Zon 8 dalam mendampingi masyarakat dan memperkasa pengetahuan asas penyembelihan yang patuh syarak (halal) di kalangan pemimpin masyarakat setempat.
PERTANDINGAN KACAU BUBUR ASYURA MERIAH DI DESA KEDA BANDAR

PERTANDINGAN KACAU BUBUR ASYURA MERIAH DI DESA KEDA BANDAR

BALING – Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Bandar telah mengambil inisiatif mengadakan Pertandingan Kacau Bubur Asyura yang melibatkan empat buah blok.
Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan penduduk setempat.
Ketua juri yang dilantik untuk pertandingan ini adalah Pegawai Pembangunan Zon 5, Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil dan kehadiran beliau menambah seri pertandingan ini.
Turut hadir dalam program ini adalah wakil dari Pejabat Penerangan Daerah Baling, serta Mantan Pengurus Khidmat Komuniti yang juga pernah menjadi Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5, Baling, Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Khalek, yang turut memberi sokongan padu terhadap usaha ini.
Majlis berjalan dengan lancar dan penuh ceria, hasil komitmen yang tinggi daripada penduduk Desa KEDA Bandar.
Pertandingan kacau bubur Asyura ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk tetapi juga menghidupkan semula tradisi turun-temurun dalam suasana yang penuh harmoni.
Program sebegini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memastikan warisan budaya terus dipelihara dan dihayati oleh generasi seterusnya.
PROGRAM TAKLIMAT INTEGRITI SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) KEPADA PEGAWAI PELAKSANA PPRT KEDA

PROGRAM TAKLIMAT INTEGRITI SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) KEPADA PEGAWAI PELAKSANA PPRT KEDA

BANDAR BAHARU – Seramai 60 Pegawai Pelaksana Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) KEDA telah menyertai Program Taklimat Integriti yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Serdang Lake View Resort, di sini baru-baru ini.
Program ini bertujuan memastikan KEDA sentiasa berada dalam landasan yang benar dengan memberi tumpuan kepada hal ehwal integriti dalam pengurusan PPRT.
Pegawai dari SPRM iaitu Mohd Azfar bin Johari telah dijemput untuk memberikan taklimat dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka berhubung isu-isu integriti dan pencegahan rasuah.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa pihaknya sangat berharap agar tiada berita buruk berkaitan rasuah atau penyelewengan berlaku dalam agensi.
“KEDA komited untuk memastikan setiap pegawai pelaksana memahami dan mengamalkan nilai-nilai integriti dalam tugas harian mereka. Program ini adalah salah satu usaha pengurusan KEDA untuk memantapkan lagi pemahaman dan kesedaran mengenai integriti dengan konsep prevention is better than cure”, katanya.
Objektif utama taklimat ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pegawai pelaksana tentang kepentingan integriti dalam menjalankan tugas mereka, serta mengukuhkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan PPRT.
Antara topik yang dibincangkan termasuklah definisi dan bentuk-bentuk rasuah, kesan buruk rasuah terhadap masyarakat, serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh pegawai pelaksana.
Melalui taklimat ini, KEDA berharap agar semua pegawai pelaksana dapat menerapkan nilai-nilai integriti dalam setiap aspek kerja mereka, sekaligus memastikan bantuan yang disalurkan melalui program PPRT benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan tanpa sebarang penyelewengan.
KURSUS TEKNOLOGI TANAMAN DURIAN DAN HARI PENANAM-PENANAM DURIAN NEGERI KEDAH

KURSUS TEKNOLOGI TANAMAN DURIAN DAN HARI PENANAM-PENANAM DURIAN NEGERI KEDAH

PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerusi Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Kedah telah menganjurkan Kursus Teknologi Tanaman Durian Tahun 2024 di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Kampung (PROSPEK) Pedu.
Program ini berlangsung selama dua hari di Kampung Pinang, Mukim Pedu, Kuala Nerang.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat, antaranya Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi) Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Mohd Yuzaidi bin Azmi, Pengerusi Pedusun Daerah Padang Terap, Dato Badrul Hisham bin Hasyim, Pengerusi Pesatuan Senjata Api Padang Terap, Dato Haji Abdul Kamel bin Haji Munin, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Omar dan Mantan Pengurus Besar KEDA, Dato’ Haji Kamaruddin bin Abd Akib.
Ucapan dan perasmian pembukaan telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan), YBhg. Encik Rozaini bin Abdul Rahman, manakala ucapan dan perasmian penutup oleh YBhg. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Penceramah utama kursus ini adalah Pegawai Pertanian dari Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Encik Ali Hanafiah bin Mazlan. Beliau berkongsi ilmu dan teknik terkini dalam penanaman durian, yang diharapkan dapat membantu meningkatkan hasil dan kualiti durian di negeri Kedah.
Majlis ini turut dihadiri oleh pengurus-pengurus bahagian, pegawai-pegawai KEDA, ketua-ketua unit, Pegawai Pembangunan Zon (PPZ), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai Jabatan Pertanian, peserta kursus, dan penduduk kampung dan jumlah keseluruhan kehadiran dicatatkan seramai 200 orang.
Dengan penganjuran kursus ini, diharapkan penanam-penanam durian di negeri Kedah akan memperoleh manfaat dan pengetahuan baharu dalam teknologi penanaman durian, sekali gus meningkatkan produktiviti dan mutu durian negeri ini.
LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK BAHAGIAN KEMAJUAN TANAH DAN WILAYAH KKDW KE PROSPEK PEDU

LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK BAHAGIAN KEMAJUAN TANAH DAN WILAYAH KKDW KE PROSPEK PEDU

PADANG TERAP – Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengadakan lawatan pemantauan dan penilaian ke beberapa projek PROSPEK di Pedu, Kuala Nerang baru-baru ini.
Lawatan ini bertujuan untuk menilai perkembangan dan keberkesanan projek-projek yang sedang dilaksanakan di kawasan tersebut.
Wakil KKDW yang hadir dalam lawatan ini termasuk, Ketua Penolong Setiausaha, Encik Amal Fariz bin Awang, Penolong Setiausaha Kanan, Encik Muhammad Muzani bin Ruszani dan Penolong Setiausaha Kanan, Puan Noorhasikin binti Awang.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke Jalan Perhubungan Desa dan Jalan Pertanian di Kampung Tong Pelu, Pedu.
Projek infrastruktur ini berada di bawah pengawasan Bahagian Hartanah dan Prasarana dan bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan penduduk kampung.
Seterusnya, delegasi melawat kedai makanan milik Nor Hazwani binti Salleh di Kampung Tong Pelu, Pedu. Ini adalah salah satu projek ekonomi di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan yang bertujuan membantu usahawan tempatan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.
Kemudian, rombongan berkunjung ke Projek Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik Abdul Hafiz bin Abd Rahman di Kampung Tanjung Luar, Pedu.
Projek ini juga berada di bawah Bahagian Hartanah dan Prasarana, yang berfokus pada penyediaan perumahan yang selesa dan selamat untuk golongan berpendapatan rendah.
Akhir sekali, lawatan diteruskan ke Projek Tanaman Pisang di Kampung Kuala Tekai, Pedu. Ini adalah inisiatif sektor ekonomi pertanian yang dikendalikan oleh Bahagian Niagatani, bertujuan mempromosikan pertanian sebagai sumber pendapatan yang stabil dan berdaya saing.
Lawatan ini memberikan peluang kepada pihak KKDW untuk melihat sendiri perkembangan projek-projek yang dilaksanakan dan memastikan semua usaha mencapai matlamat yang diharapkan demi kesejahteraan rakyat.
KEDA PERKENAL SISTEM MyPPRT

KEDA PERKENAL SISTEM MyPPRT

BANDAR BAHARU- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperkenalkan sistem MyPPRT bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien, mudah diakses, dan responsif terhadap keperluan masyarakat luar bandar.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, sistem itu dibangunkan sendiri oleh Unit Teknologi Maklumat agensi berkenaan untuk menjadikan pengurusan maklumat lebih cekap dan cepat, mengurangkan penggunaan kertas serta memastikan keselamatan dan kemudahan dalam pengendalian data.
Katanya, ia merupakan sistem yang dikendalikan secara dalaman sebagai pemudah cara kepada Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) dan Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP) yang bertanggungjawab dalam pengurusan maklumat peserta yang terlibat dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Sistem ini menawarkan pelbagai kebaikan seperti pemusatan data, yang membolehkan semua maklumat peserta disimpan dalam satu pangkalan data yang mudah diakses.
“Semua ini membantu dalam mempercepatkan proses kerja dan meningkatkan ketepatan serta kecekapan dalam pengurusan program,” katanya.
Beliau berkata pada Sidang Media sempena Program Taklimat Integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kepada Pegawai Pelaksana dan Majlis Pelancaran Projek Rintis MyPPRT KEDA di Serdang Lake View Resort, di sini.
Mengulas lanjut, YBhg. Tuan Ismasuhaimi berkata melalui pembangunan sistem MyPPRT, KEDA secara langsung telah menyambut hasrat Aspirasi Desa Madani yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi.
Katanya, beliau yakin KEDA sudah berada di landasan yang tepat bagi pendigital data PPRT dan berharap agar sistem ini digunakan sebaiknya.
Sementara itu, beliau berkata PPRT merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar yang menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah untuk memiliki kediaman yang selamat serta dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
Jelas beliau, KEDA merupakan agensi pelaksana yang akan bertindak melakukan siasatan dan pemutihan selepas menerima senarai nama daripada kementerian.
“Dari tahun 2023 sehingga kini (18 Julai 2024), KEDA telah menguruskan 824 buah rumah untuk dibaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM12.36 juta.
“Untuk tahun yang sama, kita telah membina baharu 159 buah rumah dengan kos RM9.95 juta,” katanya.
SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1446H DI DESA KEDA LERET

SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1446H DI DESA KEDA LERET

BANDAR BAHARU – Majlis Ceramah Agama bersempena sambutan Awal Muharram 1446H telah dilaksanakan dengan jayanya di Desa KEDA Leret, Mukim Serdang, Daerah Bandar Baharu pada selasa.
Majlis yang dihadiri oleh penduduk setempat telah menyaksikan sesi ceramah agama yang disampaikan oleh Pengerusi Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF), Al-Fadhil Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi.
Ustaz Jafri dalam ceramahnya menyentuh tentang kepentingan Hijrah dalam kehidupan umat Islam serta peranan setiap individu dalam memperbaiki diri sempena tahun baru Hijrah.
Antara inti pati ceramah yang disampaikan termasuklah kepentingan menjaga hubungan sesama manusia, memperbanyakkan amalan kebaikan, dan menguatkan ukhuwah Islamiah.
Suasana majlis yang penuh dengan penghayatan ini diharapkan dapat memberi manfaat dan peringatan kepada semua tetamu sempena Tahun Baharu 1446 Hijrah dan ceramah yang penuh dengan ilmu dan nasihat ini diharap dapat mempraktikkan segala ilmu yang disampaikan dan terus berusaha untuk menjadi umat Islam yang lebih baik.
Sambutan Awal Muharram ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam kehidupan setiap individu.
Majlis ini diakhiri dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ustaz Jafri dan diikuti dengan jamuan ringan yang disediakan oleh pihak penganjur.
MAJLIS CERAMAH AGAMA BERSEMPENA SAMBUTAN AWAL MUHARRAM DI DESA KEDA SUNGAI BULUH

MAJLIS CERAMAH AGAMA BERSEMPENA SAMBUTAN AWAL MUHARRAM DI DESA KEDA SUNGAI BULUH

BANDAR BAHARU – Majlis Ceramah Agama Bersempena Sambutan Awal Muharram di Desa KEDA Sungai Buluh telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari Sabtu lalu, menarik kehadiran ramai penduduk setempat.
Ceramah yang penuh bermakna ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Nazri Hanafi, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood Junior.
Dalam ceramahnya, Ustaz Nazri Hanafi menekankan pentingnya menyambut Tahun Baharu 1446 Hijrah dengan semangat baru dan amalan yang lebih baik.
Beliau turut mengupas beberapa topik penting yang relevan dengan kehidupan seharian, memberi panduan rohani serta nasihat yang berguna kepada semua yang hadir.
Sambutan ini juga memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu agama dan mempererat hubungan silaturrahim sesama mereka.
Diharapkan ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat dan ingatan yang berpanjangan kepada semua tetamu yang hadir, serta menjadi panduan dalam menjalani kehidupan seharian.
Majlis berakhir dengan doa selamat dan jamuan ringan, meninggalkan kenangan manis kepada semua yang terlibat.
Tahun Baharu 1446 Hijrah ini diharapkan akan membawa keberkatan dan perubahan positif kepada seluruh komuniti di Desa KEDA Sungai Buluh.