SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT DESA KEDA SUNGAI KECHIL ILIR
BANDAR BAHARU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu dengan kerjasama Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Sungai Kechil Ilir telah mengadakan Majlis Ceramah Agama Sempena Sambutan Awal Muharam 1446 Hijrah yang bertempat di pekarangan surau Desa KEDA ini.
Majlis ceramah kali ini berjaya mendapat bimbingan Ustaz Lutfi Amir bin Saidin yang membicarakan mengenai usaha pembangunan komuniti yang telah dilakukan oleh Baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW semasa peristiwa hijrah yang dilalui Baginda. Beliau merujuk kepada kejayaan Baginda Nabi mempersaudarakan dua kaum yang telah lama bertelagah iaitu kaum Aus dan Khazraj. Baginda Nabi juga telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin. Inilah antara contoh yang harus diambil melalui peristiwa Hijrah untuk diterapkan dalam masyarakat dengan nilai utama iaitu suci hati dan kerjasama.
Ustaz Lutfi Amir turut berkongsi panduan untuk masyarakat dalam usaha mengubah diri daripada keadaan sedia ada kepada yang lebih baik. Antaranya ialah keperluan mencari kawan yang baik atau sekurang-kurangnya perlu berada dalam kelompok masyarakat yang baik. Cara demikian mampu membantu untuk kita menjalani perubahan atau hijrah daripada perbuatan yang tidak baik kepada yang baik.
Ceramah kali ini dihadiri penduduk Desa KEDA Sungai Kechil Ilir serta penduduk sekitarnya. Turut hadir adalah Encik Muhammad Noorhisham bin Taib, Pegawai Pembangunan KEDA Zon, 9 Bandar Baharu serta pimpinan masyarakat sekitar.