SEMINAR MEMPERKASAKAN KOPERASI PEMBANGUNAN KAMPUNG-KAMPUNG KEDA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024
ALOR SETAR – Koperasi Pembangunan Kampung-kampung KEDA di negeri Kedah telah diberi suntikan semangat baru menerusi seminar yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini.
Seminar tersebut diadakan di Raia Hotel Convention Centre, Alor Setar, bertujuan untuk memperkasakan koperasi di peringkat kampung dan meningkatkan pemahaman mengenai peranan serta tanggungjawab mereka dalam menggerakkan aktiviti koperasi.
Seminar ini berjaya menarik kehadiran 122 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan ahli koperasi Desa-desa KEDA. Turut hadir adalah Pegawai Pembangunan Zon dan penyelia Koperasi Desa-desa KEDA, yang bersama-sama memeriahkan program dan memberikan sokongan kepada usaha memperkasakan koperasi ini.
Program ini telah disempurnakan oleh Naib Ketua Pegawai Eksekutif Operasi dan Kawalselia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Siti Azlin binti Ahmad Dauta.
Hadir menjayakan program Pengurus Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.
Dalam seminar tersebut, para peserta didedahkan dengan maklumat terkini mengenai pembangunan koperasi serta pelbagai strategi yang boleh diaplikasikan untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan koperasi.
Para peserta diberi penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab koperasi dalam pelbagai aspek, termasuk pengurusan kewangan, strategi pemasaran, dan pembangunan sumber manusia.
Sesi ini juga memberi peluang kepada ahli koperasi untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan bagi meningkatkan keberkesanan operasi koperasi masing-masing.
Penganjuran seminar ini adalah salah satu inisiatif KEDA dan SKM untuk memastikan koperasi di kampung-kampung terus berdaya saing dan dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi setempat.
Dengan adanya seminar seperti ini, diharapkan koperasi-koperasi tersebut akan lebih berupaya untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang yang ada dalam usaha memajukan komuniti mereka.