KUNJUNG MESRA KEDA BERTEMU PEGAWAI DAERAH SIK

KUNJUNG MESRA KEDA BERTEMU PEGAWAI DAERAH SIK

SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan kunjungan mesra bertemu dengan Pegawai Daerah Sik yang baharu, Encik Faisal Rizal bin Mohammad.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan diri serta membincangkan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah tersebut.
Delegasi KEDA yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, turut disertai oleh beberapa pegawai kanan KEDA. Antara yang hadir termasuklah Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor; Penolong Pengurus Perancangan Pemantauan dan Penilaian, Encik Mohamad Amin bin Abdul Rahim, Pegawai Pembangunan Zon 4 Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, serta kakitangan Bahagian Niagatani dan Pejabat KEDA Zon 4, Sik.
Dalam pertemuan tersebut, Encik Khairul Azmeer telah mengambil kesempatan untuk memberikan taklimat ringkas mengenai projek-projek yang sedang giat dijalankan oleh KEDA di daerah Sik. Projek-projek ini termasuklah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), Projek Agrotourism Pantai Molek, dan Projek Menaiktaraf Persimpangan Jalan Sungai Namek Sik.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara KEDA dan Pejabat Daerah Sik dalam usaha mensejahterakan masyarakat luar bandar serta meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk dalam wilayah KEDA.
Diharapkan kunjungan mesra ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada KEDA untuk terus berusaha memajukan daerah Sik dan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.