12 Lokasi Perintis SPIKE

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA ULU LEGONG

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 5, Baling tidak ketinggalan menganjurkan Program Penghayatan Tahun Baharu 2024 di Desa KEDA Ulu Legong di sini.
Program penghayatan melalui ceramah agama itu adalah sebagai usaha untuk menambah pengetahuan agama kepada penduduk Desa KEDA.
Ceramah dan perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Guru Agama Sekolah Kebangsaan Bandar, Al-Fadhil Ustaz Mohamad Isa bin Salleh kepada warga penduduk Desa KEDA Ulu Legong yang sama-sama hadir mengimarahkan program sempena penghayatan tahun baharu ini.
Antara perkongsian ilmu yang telah disampaikan ialah berkaitan pengajaran dan motivasi yang boleh dijadikan azam dan tekad baru untuk sentiasa berubah menjadi lebih baik dan seterusnya meletakkan Allah SWT sebagai paksi utama dalam hidup sebagai seorang insan dan hamba khususnya ketika melaksanakan amal ibadah kepada Allah SWT
Program ini turut dimeriahkan dengan majlis bacaan tahlil dan doa selamat oleh semua penduduk yang hadir sejurus selepas solat Isyak secara berjemaah.
Penghargaan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA TELUK TEDURI

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA TELUK TEDURI
BALING – Program sukaneka dan majlis bacaan Yasin serta tahlil sempena menghayati Ambang Tahun Baru 2024 diteruskan di Desa KEDA Teluk Teduri, di sini.
Program yang berlangsung pada Khamis itu, dihadiri penduduk setempat dari pelbagai golongan umur, telah meningkatkan daya aktif komuniti untuk terus bersemangat dalam memajukan diri dan komuniti setempat.
Aktiviti seperti sukaneka kanak-kanak dan dewasa telah mengeratkan lagi silaturahim serta hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk tanpa mengira umur khususnya bagi penduduk Desa KEDA dan juga masyarakat setempat
Bagi menambah keberkatan menyambut tahun baru, program ini turut disertai dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil yang dikendalikan oleh Pengerusi 4P Desa KEDA, Ustaz Abdul Rahman.
Perlaksanaan program ini berjaya atas kerjasama erat Jawatankuasa 4P Desa KEDA dan semua pihak terlibat, menunjukkan sinergi yang positif dalam memperkukuhkan komuniti setempat.

PENDUDUK LEGA DAN SAMBUT BAIK PROJEK SPIKE

ALOR SETAR – Penduduk Desa KEDA Seberang Paya Kerchut meluahkan perasaan lega dan menyambut baik Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) selepas majlis peluncuran projek itu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Mohd Desa bin Che Abu berkata penduduk kampung lega dengan pelaksanaan projek ini kerana tidak perlu lagi melakukan pelupusan sampah secara tradisional sebelum ini.
“Dengan ada SPIKE selepas ini pelupusan sampah menjadi mudah dan sistematik.
“Penduduk tidak perlu lagi menanam dan membakar sampah di kawasan rumah masing-masing selepas ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Peluncuran Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) hari ini.
Sementara itu, Ramli bin Che Pa, 70, SPIKE memberi kemudahan kepada penduduk kerana tidak perlu lagi membuang sampah di Pekan Bukit Pinang.
Menurutnya, tempat pembuangan sampah di Pekan Bukit Pinang itu jauh kira-kira 5 kilometer.
“Selepas ini kami tidak perlu lagi mengangkut sampah sejauh itu. Kami penduduk akan memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” katanya.

KEDA LANCAR PROJEK PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI WILAYAH KEDA (SPIKE)

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan komitmen ke arah membina desa yang cantik, bersih, selesa dan sihat dengan melancarkan Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) di Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Mukim Telaga Mas di sini.
Majlis Peluncuran SPIKE telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Hadir sama, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar
SPIKE adalah inisiatif KEDA dalam membangunkan satu projek berfokus kepada pengurusan sisa pepejal yang lebih tersusun di Desa KEDA.
“SPIKE diperkenalkan kepada 12 Desa KEDA. Projek ini memberi tumpuan kepada membangunkan sistem pengurusan sisa pepejal melalui pembinaan satu tempat pengumpulan sisa pepejal dan latihan serta pembudayaan berterusan.
Pada tahun 2023, KEDA telah membelanjakan RM 650,000 bagi pembinaan pusat pengumpulan sampah dan tong roro manakala RM 24, 000 adalah bagi tujuan pendedahan dan latihan kepada penduduk,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas merasmikan Majlis Peluncuran SPIKE di sini, hari ini.
Program tersebut turut dihadiri 500 penduduk Desa KEDA termasuk 108 mahasiswa Universiti Antarabangsa Al-Bukhari yang terdiri dari 50 negara.
Mereka hadir dalam menjayakan program bakti siswa di desa ini disamping mengambil input mengenai pengurusan sisa pepejal di wilayah KEDA ini.

PEGAWAI KEDA HADIRI BENGKEL PENYELARASAN KOMUNIKASI STRATEGIK BERSAMA UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KKDW DAN PEGAWAI MEDIA DAN PERHUBUNGAN AWAM AGENSI

PUTRAJAYA – Dua orang pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menghadiri Bengkel Penyelarasan Komunikasi Strategik bersama Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pegawai Media & Perhubungan Awam Agensi.
Dua pegawai tersebut adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan Encik Abdul Mu’min bin Mohd Rodzi.
Bengkel yang berlangsung seharian di KKDW, di sini bermula dengan sesi diskusi bersama Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Encik Suhaimi bin Ahmad. Turut hadir adalah Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Encik Md. Fadzmel bin Md. Fadzil dan Ketua Unit Komunikasi Korporat KKDW, Puan Norainis binti Mohd Noor.
Sesi bengkel diteruskan dengan Taklimat Perang Saraf Gerak Saraf dan Pengurusan Isu oleh Dr. Noor Niwandi bin Mat Noordin, Felo Operasi Psikologi, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Sesi ini memfokuskan kepada strategi agensi untuk menangani isu agar harmoni dan diterima rakyat secara positif.
Para peserta juga berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah membendung berita palsu dan komentar negatif melalui Taklimat Menangkis Berita Palsu dan Komentar Negatif oleh Encik Munir Anaam Zuljadan dari Institut Akhbar Malaysia.
Kemuncak bengkel ialah apabila Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, YBhg. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi dan Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang hadir bersama-sama para peserta.
YAB Timbalan Perdana Menteri sempat menitipkan amanat dan beramah mesra menjawab soalan yang diajukan para peserta.
Dalam amanat, beliau menyeru agar semua agensi menguruskan persepsi sebaik-baiknya agar produk yang dibawa setiap agensi dapat diterima baik rakyat dan memberi imej positif kepada agensi dan KKDW secara tidak langsung.

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BARU WARGA MADANI DESA KEDA ZON 4, SIK

SIK – Penduduk Desa KEDA Kota Aur, Sik menyambut tirau tahun baru 2024 dengan aktiviti gotong-royong bagi membersih dan menceriakan kawasan perumahan mereka bersempena program penghayatan tahun baru warga madani desa KEDA pada tahun ini.
Hampir 100 orang penduduk telah mengambil bahagian di dalam aktiviti ini yang dijalankan dengan suasana semangat tahun baru.
Antara pihak yang turut serta dalam Program Gotong-royong ialah penduduk desa KEDA, Komuniti penduduk kampung berdekatan dan turut serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5 Rejimen Renjer Diraja.
Program ini jelasnya telah meningkatkan tahap kebersihan, kesihatan, keselamatan desa KEDA.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam aktiviti ini, yang bukan sahaja memberikan faedah kepada komuniti kampung, tetapi memperkukuhkan hubungan, keharmonian dan perpaduan di kalangan komuniti.
Budaya gotong-royong adalah budaya masyarakat kita sejak turun-temurun.Ia dapat mengeratkan silaturahim,merapatkan ukhuwah. Pengibatan semua pihak dalam menjayakan program mampu membina kembali dan menyuburkan semangat perpaduan.

KEDA OPTIMIS UNTUK BERKOLABORASI DENGAN LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH UNTUK PEMBANGUNAN MASYARAKAT DESA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil langkah strategik untuk mencari rakan kolabarasi bagi mengukuhkan operasi agensi.
Terbaru, seramai 10 pegawai KEDA yang mewakili pihak pengurusan telah mengadakan sesi kunjung hormat ke Pejabat Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Delegasi pihak pengurusan KEDA telah diketuai oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Kehadiran KEDA telah disambut dengan penuh kemesraan oleh pihak LZNK yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman.
Sesi kunjung hormat ini diisi dengan perbincangan berkaitan bidang tugas agensi masing-masing dan ruang kerjasama antara agensi.
Tuan Pengurus Besar KEDA dan Dato’ Syeikh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK optimis untuk menyambung sesi kunjung hormat ini dengan kolabarasi bersama terutama berkenaan operasi, teknologi dan penjenamaan.
Ini dilihat satu peluang yang baik memandangkan kedua-dua agensi mempunyai bidang tugas yang sama dalam membasmi kemiskinan dan pembangunan masyarakat.
Terima kasih LZNK atas layanan mesra kepada KEDA ketika berkunjung ke sana. Jika berkelapangan, jemputlah hadir ke KEDA.
Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus berkekalan.

“HAYATI ASPIRASI DESA MADANI KKDW”, PENGERUSI KEDA

ALOR SETAR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyeru agar Aspirasi Desa Madani yang diilhamkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini dihayati dan dipraktikkan dalam gerak kerja operasi agensi ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Majlis yang dihadiri 250 orang kakitangan KEDA inj meliputi seluruh bahagian termasuk staf dari Pejabat KEDA Zon.
Dalam ucapan beliau, aspirasi Desa Madani ini perlu direalisasikan berdasarkan 4 teras mengikut akronim KKDW itu sendiri iaitu (K) Kemahiran dan Pengetahuan, (K) Keberkesanan dan Kecekapan, (D) Data dan Digital serta (W) Wow Factor.
“Sebagai sebuah agensi di bawah KKDW, saya yakin penghayatan akronim KKDW yang diilhamkan YAB Timbalan Perdana Menteri ini boleh diselaraskan bersama Pelan Strategik KEDA.
Warga kerja KEDA perlu mempersiapkan diri dengan segala kekuatan mental mahupun fizikal bagi mendepani tahun 2024 yang lebih mencabar ini”, ujar beliau
Pelan Strategik KEDA 2021-2025 menekan 5 fokus yang meliputi pembangunan infrastruktur dan kemudahan luar bandar yang lengkap dan berkualiti, membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik, memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar, memperkasa usahawan KEDA luar bandar serta memantapkan keupayaan kapasiti organisasi.

KEDA TERIMA PERUNTUKAN RM83.216 JUTA BAGI TAHUN 2024

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima peruntukan RM83.216 juta bagi tahun ini.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom
berkata, peruntukan ini meliputi RM 50.716 untuk bajet pembangunan manakala selebihnya adalah bagi peruntukan bajet pengurusan.
“Bajet pembangunan yang diterima itu merangkumi 11 projek prasarana berjumlah RM30.5 juta, 6 projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM8.45 juta, modal insan sebanyak RM8.875 juta melibatkan 5 projek dan projek usahawan RM2.85 juta untuk 3 projek.
Saya menyeru agar warga kerja KEDA terus komited dalam memperkasa masyarakat desa,” ujar beliau.
Sejak 43 tahun beroperasi, KEDA telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.311 bilion,”.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 agensi ini di Kompleks Ibu Pejabat KEDA hari ini.
Sejak penubuhan KEDA pada 28 Mei 1981, KEDA telah memainkan peranan besar dalam membantu mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dan infrastruktur di Kedah, terutamanya kawasan luar bandar.
Menerusi pembangunan penempatan untuk rakyat termiskin, bantuan ekonomi untuk aktiviti perniagaan kecil, pertanian dan penternakan, KEDA mewujudkan lebih ramai usahawan serta memberi pendidikan kemahiran kepada penduduk kampung.