KEDA MENERIMA PERUNTUKAN RM9.2 JUTA BAGI PEMERKASAAN MODAL INSAN DESA DI KEDAH

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima peruntukan RM9.2 juta untuk pembangunan modal insan di wilayahnya bagi tahun 2024.
Peruntukan ini merangkumi 5 program iaitu Program Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kolej KEDA, Program Pemantapan Pengurusan Organisasi Luar Bandar di Wilayah KEDA (PTIO), Program Transformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti, Program Pemerkasaan Generasi Pewaris (GEN) dan Program Pembangunan Kemahiran Untuk Komuniti B40 Wilayah KEDA.
Jumlah bagi tahun 2024 ini adalah lebih tinggi berbanding tahun ini iaitu pertambahan sebanyak RM4.1 juta.
Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom ketika Festival Kesenian Islam KEDA Tahun 2023 di Desa KEDA Che Bema, di sini.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengurus Besar, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Pertambahan nilai peruntukan ini adalah manifestasi kepercayaan kerajaan Malaysia Madani dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada KEDA dalam merealisasikan aspirasi Luar Bandar Sejahtera.
Peruntukan pembangunan modal insan ini dipecahkan kepada beberapa elemen gerak kerja seperti pembangunan kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET), pengurusan kepimpinan desa dan organisasi luar bandar, permerkasaan belia dan pemantapan kominiti desa yang dinamik.