PERTEMUAN SANTAI PENGURUS BESAR KEDA BERSAMA DUTA BESAR MALAYSIA KE QATAR
DOHA – KEDA bakal berada di Qatar? Selain kehangatan Kejohanan Piala Asia di Negara Arab tersebut, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak terkecuali mengintai peluang bersesuaian di negara ini.
Terbaharu, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah berkesempatan untuk bertemu Duta Besar Malaysia ke Qatar, Tuan Yang Terutama Zamshari bin Shaharan sempena lawatan beliau ke Qatar.
Pertemuan secara santai dengan TYT Duta Malaysia ke Qatar ini turut diisi dengan perbincangan berkaitan peluang kerjasama yang dapat dijalinkan terutama bagi membantu usahawan-usahawan bimbingan KEDA dalam menembusi pasaran global di negara-negara teluk khususnya di Qatar.
Selain itu, turut dibincangkan adalah peluang kolaborasi antara pemain-pemain industri di Qatar dengan usahawan tempatan terutama Usahawan KEDA.
Kolaborasi ini adalah bagi menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang menjadikan agenda Desa to Global (D2G) sebagai salah satu Game Changer kementerian dan agensi dibawahnya bagi tahun ini.
Ini dinyatakan sendiri oleh YAB TPM sewaktu menyampaikan amanat tahun baharu di KKDW, Putrajaya awal bulan ini.
Semoga hubungan mesra ini dapat membenihkan kerjasama dan kolaborasi strategik agar manfaat dapat dikecapi oleh pemegang taruh KEDA terutama usahawan dan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat desa di negeri Kedah ini.