PELAJAR AIU SELAMI KEHIDUPAN DESA KEDA TEPI SUNGAI

SUNGAI PETANI – Seramai 47 pelajar Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) berpeluang menyelami kehidupan masyarakat luar bandar di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Tepi Sungai, Kuala Muda di sini.
Program ‘Field Trip’ iaitu khidmat bakti berkonsepkan anak angkat ini dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial bersama KEDA.
Program selama dua hari ini adalah bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa merasai sendiri budaya dan gaya hidup masyarakat di perkampungan Desa KEDA Tepi Sungai.
Mewakili penduduk desa KEDA Tepi Sungai, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P), Ahmad bin Osman menyambut baik kedatangan mahasiswa ke Desa KEDA ini dan berharap segala budaya dan ilmu kemasyarakatan yang dipelajari dapat dijadikan ilmu baru dan digunapakai dalam pembelajaran dan kehidupan.
Sebagai maklumat, Desa KEDA Tepi Sungai adalah salah satu Desa KEDA yang telah dibangunkan oleh KEDA sejak tahun 1995. Pada tahun 1996, penempatan ini mula diduduki dengan bilangan rumah sebanyak 96 buah rumah dan memberi manfaat kepada 480 orang penduduk di daerah Kuala Muda.
Desa KEDA ini adalah penempatan berkonsepkan sebuah perkampungan tradisi nelayan dan penduduk di sini bekerja sebagai nelayan disebabkan penempatan ini berdekatan dengan persisir pantai.
KEDA berharap agar hubungan silaturahim antara penduduk terutamanya keluarga angkat dapat dikekalkan dan pengalaman yang diperolehi selama dua hari program berlangsung dapat digunakan untuk kehidupan masa hadapan.
Terima kasih kepada mahasiswa dan pihak Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan penduduk Desa KEDA Tepi Sungai atas program yang bermanfaat ini.