PELBAGAI PERKONGSIAN INFORMASI DIATUR KEDA KEPADA PELAJAR UNIVERSITI ANTARABANGSA ALBUKHARY

SUNGAI PETANI – Seramai 47 pelajar Antarabangsa dari Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) turun padang ke Desa KEDA Tepi Sungai, di sini.
Rombongan pelajar AIU dari pelbagai negara itu tiba di perkarangan Dewan Desa KEDA Tepi Sungai sekitar jam 10 pagi dan disambut oleh kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bersama penduduk kampung.
Program Field Trip Bachelor of Social Development oleh AIU ini mengetengahkan konsep Anak Angkat dengan mahasiswa akan bersama-sama keluarga angkat masing-masing sepanjang program ini bagi merasai pengalaman berada dalam komuniti setempat di utara tanah air ini.
Program ini adalah anjuran bersama Bahagian Pembangunan Komuniti, Pejabat KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan dan Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Tepi Sungai.
Acara telah diurus selia oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat KEDA, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan ianya dimulakan dengan menjemput Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Prof. Dr Nor Azilah Husin untuk memberikan taklimat ringkas fakulti dibawah pimpinan beliau.
Persatuan Nelayan Kota Kuala Muda juga telah dijemput untuk berkongsi operasi nelayan di sini kepada mahasiswa dan penerangan ini disampaikan oleh Pengurus Persatuan Nelayan Kota Kuala Muda, Puan Farah binti Idros.
Seterusnya adalah perkongsian Agenda Nasional Malaysia Sihat iaitu kempen cara hidup sihat dan dasar-dasar Kementerian Kesihatan Malaysia yang disampaikan oleh Pegawai Pejabat Kesihatan Kuala Muda, Puan Juwita binti Jamil.
Penerangan mengenai KEDA yang disampaikan sendiri oleh Tuan Syed Muhammad Adam. Sesi soal jawab berlangsung aktif dan mendapat sambutan apabila mahasiswa mengajukan pelbagai soalan memandangkan operasi KEDA selari dengan subjek pembelajaran mereka.
Pegawai KEDA yang turut hadir menjayakan program Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA, Puan Yusnida binti Yusoff.