KEDA HASRAT BANGUNKAN TANAMAN PADI WANGI
SELANGOR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat bakal membangunkan tanaman padi wangi di beberapa kawasan pertanian dalam wilayahnya pada tahun ini.
Hasrat ini disuarakan oleh Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff melalui Bahagian Niagatani (BNT) KEDA sempena Lawatan Sambil Belajar ke FGV Paddy Agro Valley (FPAV), Sekinchan baru-baru ini.
Projek tanaman rintis pembangunan padi wangi seluas 120 relong itu, dicadangkan lokasinya dekat Kampung Weng Dalam, Mukim Siong, Baling, Kedah.
Projek tanaman itu dijangka bakal diusahakan pada September atau Oktober tahun ini selepas selesai beberapa dokumen berkaitan tanaman dengan pihak FGV Paddy Agro Valley (FPAV).
Projek rintis ini akan diusahakan oleh petani di bawah bimbingan KEDA dengan kerjasama FGV Paddy Agro Valley (PPAV).
KEDA berhasrat membangunkan tanaman padi wangi sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan petani, ini kerana harga padi beras wangi adalah tinggi berbanding padi beras putih tempatan.