KEDA TERUS MEMBANTU USAHAWAN BIDANG PENYEJUKBEKUAN DAN PENGHAWA DINGIN

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited membantu usahawan Bidang Penyejukbekuan dan Penghawa Dingin di negeri ini melalui Program Mentor Mentee di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP).
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, pada tahun ini, KEDA telah bekerjasama dengan MKR Waja Enterprise yang dilantik sebagai mentor kerana merupakan sebuah syarikat yang menjalankan kursus Heating Ventilation Air Conditioning dan merupakan sebuah syarikat pembekal penghawa dingin di Utara Semenanjung Malaysia.
“Kos keseluruhan Program Mentor Mentee bersama MKR Waja ini adalah sebanyak RM100,000 dengan melibatkan 10 orang peserta sekitar Kedah dan mereka terdiri dari Ketua Isi Rumah (KIR) B40 yang layak serta mempunyai pengalaman dalam bidang penghawa dingin.
“Bantuan maksimum adalah sebanyak RM10,000 bagi seorang mentee yang merangkumi kos latihan, kursus dan peralatan. Mentor akan membekal semua peralatan dan akan memantau setiap mentee di bawah mereka.” katanya ketika Majlis Perasmian dan Penyerahan Peralatan PPP di Darulaman Golf Club, di sini.
Beliau berkata, Program Mentor Mentee ini berupaya melahirkan ramai usahawan dalam bidang penghawa dingin di negeri ini.
Ismasuhaimi berkata, pelaksanaan PPP adalah bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah B40 di luar bandar di Negeri Kedah melalui penglibatan mereka di dalam projek-projek ekonomi yang berupaya meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.