KEDA PERUNTUKAN RM250,000 BAGI PROGRAM MENTOR MENTEE

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima peruntukan keseluruhan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM250,000 bagi Program Mentor Mentee di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini.
Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata KEDA kini mempunyai seramai 3 mentor dan 25 mentee yang berdaftar dengan peruntukan berkenaan. Beliau menjelaskan, setiap mentee yang terpilih diberi bantuan maksimum sebanyak RM10,000 dan ini merangkumi kos latihan, kursus dan peralatan.
“Mentor akan membekal semua peralatan dan akan memantau setiap mentee di bawah mereka.
“Di bawah program ini, bantuan adalah merangkumi peralatan, latihan dan kursus yang dikendalikan oleh mentor secara ‘one to one coaching’ dan semua mentee yang terlibat dengan program ini telah disemak dan dipastikan bahawa mereka masih aktif menjalankan perniagaan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Peralatan bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Mentor Mentee di Darulaman Golf Club, Jitra, hari ini.
Ismasuhaimi berkata, bagi program mentor mentee ini terdapat tiga bidang iaitu bidang penyejukbekuan dan penyaman udara, jahitan serta makanan ala Thai.
Jelas beliau, pihak KEDA akan memantau mentor dan setiap mentee selama setahun seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKDW.
“Walaupun tempoh pemantauan program telah tamat, pihak KEDA akan memastikan mentor akan terus memantau dan membantu mentee untuk terus meningkatkan pendapatan.
“Diharap agar mentor dan semua mentee terus konsisten dalam menjayakan program ini dan boleh menjadi contoh kepada model perniagaan yang lain pada masa akan datang,” katanya.