SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ PERINGKAT DESA KEDA BAGAN SENA
KULIM – Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara tanda kekuasaan Allah SWT yang diperlihatkan kepada hamba-Nya.
Peristiwa yang mengandungi seribu satu hikmah dan mukjizat ini amat besar nilainya di sisi orang-orang muslim dan ia kekal terpahat dalam lipatan sejarah Islam.
Justeru, Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 6, Kulim meraikan sambutan tersebut dengan menganjurkan Ceramah Agama di Desa KEDA Bagan Sena, Kulim Kedah.
Ceramah sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj tersebut disampaikan oleh Ketua Unit Agama Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Mertajam, Ustaz Ahmad Fikri bin Abid.
Program Israk dan Mikraj ini diadakan di Surau Desa KEDA Bagan Sena dengan tajuk Memperingati Israk dan Mikraj.
Dalam ceramahnya, beliau antara lain mengajak umat Islam memperbanyakkan amal ibadah termasuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam kerana pada awalnya Allah SWT memerintahkan mendirikan sebanyak 50 waktu namun Rasulullah SAW memohon agar dikurangkan sehingga perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.
Turut dikongsi iaitu perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah SAW dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ia adalah tiang agama Islam dan kunci agar diterima segala amalan di dunia.