GUA SIREH JADI TUMPUAN SELEPAS DINAIK TARAF

BALING – Keindahan Gua Sireh di Kampung Padang Che Mas menjadi tarikan baharu bagi eko pelancongan di Kedah sekali gus menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.
Menurut Pengurus Koperasi Eko Pelancongan Gua Sireh, Mohd Sazli Ibrahim, 55, gua sepanjang 460 meter itu berjaya menarik kira-kira 1,000 pelancong tempatan dan luar negara dalam tempoh sebulan selepas ia siap di naik taraf pada hujung tahun lalu.
Katanya, projek menaik taraf pelbagai kemudahan di dalam gua seperti lampu yang berwarna warni dan jambatan besi menyebabkan pengunjung berasa lebih selamat untuk meneroka gua berkenaan.
“Selepas menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebanyak RM750,000, kita naik taraf gua ini daripada jambatan kayu kepada jambatan besi, sebelum ini kita terpaksa tukar kayu-kayu di sini kerana ia tidak tahan lama.
“Peruntukan itu turut melibatkan pembelian van pelancong. Dengan adanya kemudahan ini, kita sasarkan selepas akan menerima lebih ramai pengunjung iaitu antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung sebulan selepas ini,” katanya ketika ditemui.
Mohd Sazli berkata kehadiran pelancong ke dalam gua itu akan disambut dengan permandangan indah batu besar berbentuk sireh junjung.
Katanya, pengunjung kemudiannya akan kagum melihat keindahan formasi stalagmit dan stalaktit berbentuk singa, perahu patah, batu yang berbunyi gong, dataran helang dan pelbagai lagi bentuk batu yang unik.
“Kita juga ada batu berbentuk mini ‘love’, pengisar tepung dan bukit kristal, pengunjung dewasa hanya perlu membayar RM15 untuk masuk ke dalam, manakala pelajar institut pengajian tinggi (IPT)dan pelajar sekolah menengah RM10, sekolah rendah RM7 dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah hanya RM4, setiap kumpulan pengunjung akan diiringi dengan pemandu arah.
“Kita buka setiap hari kecuali cuti sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, kita akan beroperasi bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.
Kebiasaannya pengunjung akan mengambil masa antara sejam setengah hingga dua jam untuk meneroka gua ini,” katanya.