PENGGERAK KEDA DISARAN JADI FASILITATOR KEPADA IPPK CAPAI MATLAMAT ORGANISASI

PULAI PINANG – Pegawai Penggerak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) disaran menjadi fasilitator kepada pihak Institusi Pentadbiran Peringkat Kampung (IPPK) bagi membantu merealisasikan hasrat dan matlamat organisasi dalam mewujudkan pembangunan desa yang lestari.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, pegawai penggerak KEDA harus berperanan sebagai pemudah, fasilitator jurulatih atau mentor yang akan mendorong IPPK agar terus merangsang proses pembangunan sosial-ekonomi kampung.
“Harapan KEDA agar semua penggerak dapat menggunakan ilmu yang diperoleh melalui bengkel ini dalam usaha memberi bimbingan kepada IPPK bagi meningkatkan penglibatan aktif IPPK dan komuniti luar bandar.
“Hasrat KEDA agar aspirasi game changer KKDW yang mengkehendakkan Desa to Global ini perlu bermula dari kita di KEDA sebagai penggerak awal kecemerlangan KEDA,”.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pengukuhan Gerak Kerja Pegawai Penggerak KEDA Tahun 2024 dengan kerjasama Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir adalah Penolong Pengarah KananAkademi Kenegaraan Balik Pulau, Encik Mohd Akmaluddin bin Mudaribeni, Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar dan Penolong Setiausaha Bahagian Komuniti Desa
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Raja Nazrin bin Raja Ahmad.
Jelas beliau lagi, kakitangan KEDA perlu mempunyai sifat jati diri dan kebersamaan yang tinggi agar jabatan ini sentiasa kukuh dan berjaya.