KEPIMPINAN DESA KEDA ZON 6, KULIM DIBERI KESEDARAN BEBAS DADAH

KEPIMPINAN DESA KEDA ZON 6, KULIM DIBERI KESEDARAN BEBAS DADAH

KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 6, Kulim komited terus memperkasakan kepimpinan di komuniti Desa KEDA dalam wilayahnya agar bebas dadah bagi melahirkan Pembangunan Desa Lestari.
Seramai 45 orang penduduk dari Desa KEDA Bagan Sena, Desa KEDA Naga Lilit dan Dingin dipilih mengikuti Program Training Of Trainers (TOT) Community Empowerment anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kulim dan KEDA.
Program yang diadakan di Dewan Sungai Seluang bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat termasuk golongan belia berkaitan penyalahgunaan dadah, substans dan pelencongan sosial serta cara menangani masalah tersebut dengan lebih efektif.
Selain itu, melalui program ini semangat kerjasama di antara pimpinan belia Desa KEDA dengan agensi dapat dipupuk justeru menggalakkan percambahan idea di kalangan peserta untuk merancang aktiviti-aktiviti di Desa KEDA masing-masing.
Program ini dirasmikan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat KEDA, Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Turut menjayakan program iaitu Ketua Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Daerah Kulim, Mohd Norazwan bin Rapie dan Pegawai Pembangunan Zon 6, Kulim, Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir.
Antara pengisian program ini ialah ceramah berkaitan senario dadah dan peranan komuniti, serta sesi soal jawab bersama agensi.