KEDA TERUSKAN PEMERKASAAN MODAL INSAN MELALUI GURU-GURU AGAMA DESA KEDA

KEDA TERUSKAN PEMERKASAAN MODAL INSAN MELALUI GURU-GURU AGAMA DESA KEDA

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sentiasa melaksanakan pelbagai usaha dalam memperkasakan pembangunan modal insan kepada penduduk desa KEDA termasuk aspek ibadah dan kerohanian.
Usaha ini dilakukan KEDA bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan penganjuran Kursus Penyelarasan dan Pemantapan Guru-guru Agama Desa KEDA.
Kursus yang diadakan di The Jerai Hotel, Sungai Petani baru-baru ini bertujuan untuk memberi penerangan dan pencerahan kepada tenaga pengajar kuliah di Desa KEDA tentang hasrat KEDA dan LZNK untuk menambahbaik aspek kerohanian serta mendidik warga Desa KEDA ke arah komuniti berteraskan agama Islam.
Kursus ini juga adalah untuk memberi pendedahan kepada guru-guru agama Desa KEDA berkaitan silibus pengajaran terkini 2024 menggunakan kitab Safinatunaja (Kitab Fekah) yang membahaskan ilmu Fekah untuk diajarkan kepada penduduk Desa KEDA.
Selain itu, kursus ini juga memberi pendedahan kepada guru-guru agama yang terlibat dalam tadbir urus pendidikan perlu berfikiran kreatif dan kritis untuk mengejar perubahan demi perubahan seiring pendidikan arus perdana pada masa kini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengurus Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP) KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pegawai Agihan Lembaga Zakat Negeri Kedah, Encik Mohamad Suraidi bin Saad.
Kelas Pengajian Fardhu Ain telah diadakan di setiap surau penempatan Desa KEDA bermula sejak 2017 hasil daripada perbincangan antara KEDA dan LZNK bagi bersama-sama mengangkat syiar islam dalam menangani dan mendepani isu sosial dan modal insan ke arah yang lebih disarankan agama serta membentuk masyarakat cakna agama.