PROGRAM PENGIMARAHAN RAMADAN PERDANA DI MASJID DARUL QURRO’ KARIAH WANG TEPUS

PROGRAM PENGIMARAHAN RAMADAN PERDANA DI MASJID DARUL QURRO’ KARIAH WANG TEPUS

KUBANG PASU – Seramai 200 tetamu hadir memeriahkan Majlis Berbuka Puasa Perdana dan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Zon 8, di Masjid Darul Qurro, Wang Tepus, Jitra di sini.
Majlis ini adalah anjuran Pejabat KEDA Zon 8 (Kota Setar/Kubang Pasu) dengan kerjasama Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Wang Tepus dan Jawatankuasa Masjid Darul Qurro’ Kariah Wang Tepus.
Majlis berbuka puasa ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA, Mohd Azam bin Omar, Ketua Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat (PSA KEDA), Houzall Othman bin Mohd Hashim, Ketua Unit Audit Dalam (UAD), Mohd Hafizuddin bin Mohd Asri, Ketua Unit Integriti dan Perundangan (UIP), Nurul Aqilah binti Azmi.
Majlis ini turut menerima kunjungan staf KEDA dari Ibu Pejabat dan Pejabat Pembangunan Zon 8 sendiri.
Majlis dimulakan dengan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Tuan Imam Masjid Darul Qurro’, Tuan Haji Mohammad Affendee bin Hj Ishak dan diikuti dengan ucapan dari Timbalan Pengurus Besar (Operasi).
Sebelum berbuka, sesi penyerahan bantuan kepada asnaf turut diadakan kepada seramai 15 orang penerima bantuan bakul makanan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib, ceramah bersempena dengan Sambutan Nuzul Quran, solat Isyak dan diakhiri dengan solat terawih secara berjemaah.
Semoga program pengimarahan dan santunan KEDA kali ini dapat mengeratkan silaturrahim antara kakitangan KEDA dengan penduduk desa KEDA serta sekitarnya.