KEDA KOMITED SELESAI ISU SAWAH DAN TANAH TERBIAR

KEDA KOMITED SELESAI ISU SAWAH DAN TANAH TERBIAR

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited untuk cuba menyelesaikan isu sawah dan tanah terbiar dalam kawasan wilayahnya pada tahun ini.
Pengerusinya, YBhg. Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kawasan kira-kira 400 hektar tanah terbiar akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM1.25 juta melibatkan 20 peserta dengan jumlah penerima manfaat sebanyak 500 orang.
“Sejumlah 1,587.93 hektar tanah terbiar di Kedah telah dipulihkan dan dinaik taraf menerusi projek ini dan melibatkan peruntukan keseluruhannya RM8.5 juta.
“Bilangan peserta usahawantani mengusaha sawah terbiar dari RMK9-RMK12 (2023) berjumlah 204 orang dengan jumlah keseluruhan penerima manfaat seramai 8,172 orang,”.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri KEDA 2024 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini.
Dalam pada itu, KEDA berhasrat membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma di beberapa kawasan pertanian dalam wilayah KEDA tahun ini.
Menurutnya, projek tanaman rintis pembangunan padi wangi seluas 34.57 hektar dicadang dilaksanakan di Kampung Weng Dalam, Baling pada September atau Oktober tahun ini.
“KEDA turut berhasrat untuk mempergiat penanaman padi huma dan kita masih sedang mencari peserta yang berminat menyertai projek ini, kawasan bersesuaian untuk dibangunkan serta rakan strategik yang berpengalaman.
Hasrat membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma itu adalah seiring dengan matlamat agensi membangunkan kawasan-kawasan terbiar di negeri ini,” katanya
Jelas beliau, cadangan kawasan adalah di tiga daerah iaitu Baling, Sik dan Padang Terap.
“Usaha ini juga mungkin membolehkan kita menambah jenis variati beras di pasaran nanti. Harap-harap nanti produk jenama kita ini akan berjaya dan beras wangi KEDA akan menjadi sinonim dengan rakyat di negeri ini,” ujar beliau.