KEDA SALURKAN HAMPIR RM500,000 UNTUK BANTUAN EKONOMI DAERAH BANDAR BAHARU
Serdang – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 9 Bandar Baharu berjaya menyalurkan peruntukan berjumlah RM490,834 kepada 17 peserta untuk aktiviti ekonomi dalam Daerah Bandar Baharu bagi tahun 2024 ini.
Perkara demikian dinyatakan oleh Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, semasa merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Dan Penyerahan Bantuan Ekonomi Peringkat Pejabat KEDA Zon 9 Bandar Baharu.
“Saya berharap agar bantuan yang diberikan ini akan dijaga dengan baik oleh peserta dan digunakan sepenuhnya untuk mengusahakan perniagaan seterusnya menambah pendapatan mereka.
KEDA akan membuat pemantauan berkala bagi membantu peserta meningkatkan produktiviti perniagaan”, Hajah Afifah binti Haji Omar.
Bantuan ekonomi yang disalurkan adalah untuk empat program utama iaitu Projek Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT), Projek Pemantapan Pengurusan Organisasi Luar Bandar (PTIO), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB).
Majlis yang berlangsung dengan meriah telah diserikan dengan sajian pelbagai menu seperti ketupat dan rendang, mee kari dan pelbagai air minuman.
Dengan bertemakan ‘Raya Klasik’, majlis turut menerima kehadiran pimpinan tempatan dan wakil pelbagai jabatan.