LAWATAN PEMANTAUAN PENGURUS BESAR KEDA KE PROJEK KOLAM IKAN NAKA
NAKA – Dalam memastikan setiap projek dapat memberi manfaat kepada rakyat seperti harapan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff menekankan peri pentingnya pemantauan bagi setiap projek yang dijalankan agensi ini.
Terbaru, Pengurus Besar KEDA telah mengadakan lawatan pemantauan ke salah satu projek pertanian iaitu Projek Kolam Ikan Naka di daerah Padang Terap.
Turut hadir bersama ketika sesi lawatan ini adalah Pengurus Perancangan Pemantauan dan Penilaian, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Penolong Pengurus Perancangan Pemantauan dan Penilaian, Encik Muhammad Amin bin Abdul Rahim.
Setibanya Pengurus Besar KEDA ke tapak projek, taklimat telah diberikan oleh pengusaha melibatkan sejarah permulaan, operasi serta isu-isu yang timbul sepanjang mengusahakan projek ini sejak November 2023.
Pengurus Besar KEDA turut dibawa melawat tapak perternakan dan pembenihan ikan tilapia, keli dan puyu.
Dalam sesi taklimat, beliau berharap agar ada satu kitaran aktiviti perikanan ini bermula dari pembenihan sehingga jualan agar dapat memberi manfaat maksimum.
“Bagi menjamin keberjayaan projek KEDA, kita juga perlu fikirkan kitaran aktivitinya. Ini penting agar dapat mengurangkan liabiliti dan memaksimumkan penghasilan output. Kejayaan ini akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” ujar beliau.