PEJABAT KEDA ZON 5, BALING BERI PENDEDAHAN ASAS PERAHU PANJANG KEPADA BELIA DESA KEDA DAERAH BALING

PEJABAT KEDA ZON 5, BALING BERI PENDEDAHAN ASAS PERAHU PANJANG KEPADA BELIA DESA KEDA DAERAH BALING

BALING – Pejabat KEDA Zon 5, Baling, telah mengambil inisiatif untuk memberikan pendedahan asas mengenai perahu panjang kepada para belia dari Desa-desa KEDA di Daerah Baling sempena Program Hari Belia 2024 Desa-Desa KEDA Daerah Baling, baru-baru ini.
Program tersebut dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah (UniSHAMS) dan diketuai oleh Pegawai Belia dan Sukan UniSHAMS, Tuan Raja Zulkhairil Ikram bin Raja Adzhar.
Seramai 40 orang belia dari sembilan Desa KEDA telah mengambil bahagian dalam program ini, yang diketuai oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5 Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil, bersama dengan kakitangan KEDA Baling.
Aktiviti utama program ini melibatkan pendedahan teori asas dan praktikal mengenai perahu panjang, serta aspek keselamatan dalam sukan lasak tersebut. Pengembaraan sepanjang Tasik UniSHAMS turut disertai oleh agensi pegawai penyelamat dari APM Daerah Baling, yang memastikan keselamatan semua peserta.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan perahu panjang, tetapi juga membina nilai-nilai murni seperti semangat kerjasama berpasukan antara belia dari pelbagai desa KEDA.
Melalui aktiviti ini, para peserta dapat mengembangkan sikap positif dan semangat perpaduan yang tinggi, yang amat penting dalam membina komuniti yang lebih erat dan harmoni.
Kejayaan program ini menunjukkan komitmen Pejabat KEDA Zon 5, Baling dalam memperkasa dan memajukan belia setempat melalui pendedahan kepada aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan berdaya saing.