PROGRAM TUISYEN PINTAR@KEDA DAN 100 PERMATA LUAR BANDAR NEGERI KEDAH TAHUN 2024 DILANCARKAN
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melancarkan Program Tuisyen Pintar@KEDA dan 100 Permata Luar Bandar Negeri Kedah bagi tahun 2024 di Dewan Al-Farabi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini, hari ini.
Pelancaran dua program itu telah disempurnakan oleh Pengarah JPN Kedah, YBhg. Tuan Haji Ismail bin Othman bersama Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Program Tuisyen Pintar@KEDA, adalah sisipan aktiviti Program Pintar@KKDW yang dirangka oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri.
Program ini bertujuan menyediakan kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun 2024 bagi mempertingkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan.
KEDA telah bekerjasama dengan JPNK menjayakan salah satu aktiviti kecemerlangan pelajar di bawah program ini dengan peruntukan sebanyak RM400,000 melibatkan 113 buah sekolah.
Setiap sekolah akan diagihkan peruntukan RM3,500 dengan memberi tumpuan kepada 5 subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains dan Pendidikan Islam.
Menerusi Program 100 Permata Luar Bandar Negeri Kedah pula adalah matlamat melahirkan sekurang-kurangnya 100 orang pelajar cemerlang “Straight A” dalam SPM terutama pelajar luar bandar.
Sebagai perintis, JPNK akan mengenal pasti 50 pelajar tingkatan 3 yang berpotensi bagi tahun 2024 ini untuk dibimbing dan dipantau prestasi secara khusus dengan siri latihan, kelas dan sebagainya agar mereka boleh menjadi pencetak kejayaan negeri ini untuk SPM 2026 nanti.
KEDA akan berusaha membantu terutama dalam hal ehwal dana yang mungkin mencecah hampir RM50,000 bagi merealisasikan impian.
Semoga segala perancangan dan gerak kerja ini dipermudahkan dan memberi manfaat kepada anak-anak permata kita dan Kedah terus mendapat kenikmatan dan kesejahteraan.