PROGRAM HARI KOMUNITI BERSAMA JABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ) DI DESA KEDA TELUK TEDURI, BALING
BALING – Program Hari Komuniti anjuran Pejabat KEDA Zon 5, Baling bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diadakan di Desa KEDA Teluk Teduri, Baling dengan sambutan yang meriah daripada penduduk setempat.
Program ini menawarkan pelbagai perkhidmatan melalui JPJ Mobile, termasuk taklimat berkaitan My JPJ secara dalam talian, pembaharuan Lesen Kenderaan, Roadtax dan insurans, serta perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan dengan JPJ.
Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pegawai JPJ Baling, Encik Mahadzir bin Yahaya, yang memberikan maklumat berguna mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh JPJ.
Program ini bertujuan untuk mendekatkan perkhidmatan JPJ kepada komuniti luar bandar dan memastikan mereka mendapat akses yang mudah kepada maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5 Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil, staf Pejabat KEDA Baling, staf JPJ dari Baling dan Sungai Petani, serta penduduk kampung dari kawasan sekitarnya.
Kehadiran ramai dan semangat yang tinggi daripada penduduk setempat menunjukkan betapa pentingnya program seperti ini dalam menyampaikan perkhidmatan awam kepada komuniti luar bandar.
Encik Mohamad Yusran Azali dalam ucapannya menyatakan penghargaan beliau terhadap usaha JPJ dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti setempat.
Penduduk kampung yang hadir juga menyatakan rasa gembira mereka dengan program ini dan satu inisiatif yang sangat baik, memudahkan penduduk untuk memperbaharui lesen dan insurans tanpa perlu pergi jauh ke bandar.
Program Hari Komuniti ini jelas menunjukkan komitmen JPJ dan KEDA dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar. Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih banyak komuniti akan mendapat manfaat dan perkhidmatan awam akan menjadi lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.