KEDA KOMITED MELESTARIKAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK LUAR BANDAR AGAR TERUS CEMERLANG

KEDA KOMITED MELESTARIKAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK LUAR BANDAR AGAR TERUS CEMERLANG

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam melestarikan pendidikan kepada anak-anak luar bandar agar memperoleh keputusan cemerlang.
Usaha ini dilakukan KEDA dengan memberi lebih fokus kepada pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dibimbing bagi peningkatan pencapaian.
Bagi mencapai kecemerlangan akademik yang baik, KEDA menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) untuk program Tuisyen Pintar@KEDA dan 100 Permata Negeri Kedah.
Menurut Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, berkata program Tuisyen Pintar@KEDA yang dijalankan dengan kerjasama JPNK sejak tahun 2022 ini diyakini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan pencapaian SPM 2023.
“Tahniah kepada JPNK atas kejayaan peningkatan keputusan SPM tahun lalu yang menjadi rekod sejak 13 tahun.
Program Tuisyen Pintar@KEDA 2024 kali ini melibatkan 113 buah sekolah di seluruh Negeri Kedah melalui peruntukan Program Pemerkasaan Generasi Pewaris (GEN).
Pada tahun ini juga kita dengan kerjasama JPNK memperkenal Program 100 Permata Luar Bandar Negeri Kedah Tahun 2024,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Anak-Anak Desa KEDA di Dewan Dokoh Ratna, Jalan Batu Lintang Sungai Pasir.
Tambah beliau, melalui Program 100 Permata JPNK akan mengenal pasti 100 pelajar tingkatan 3 yang berpotensi bagi tahun 2024 ini untuk dibimbing dan dipantau prestasi secara khusus dengan siri latihan, kelas dan sebagainya agar mereka boleh menjadi pencetak kejayaan negeri ini untuk SPM 2026.
Antara lain beliau turut mengharapkan agar apresiasi ini memberi motivasi kepada semua penerima untuk mengekalkan prestasi cemerlang serta menjadi contoh kepada anak-anak desa KEDA yang lain.