KEDA RAI PELAJAR CEMERLANG SPM 2023

KEDA RAI PELAJAR CEMERLANG SPM 2023

SUNGAI PETANI – 25 orang anak-anak Desa KEDA yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dirai oleh pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam sebuah majlis di Batu Lintang, Sungai Pasir, di sini.
Majlis apresiasi kecemerlangan yang diadakan ini pastinya dikenang sebagai kenangan manis kerana disambut meriah berkonsepkan taman bunga.
Pengurusan KEDA yang diketuai Pengurus Besar, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff meraikan hari bahagia buat anak-anak dari 16 buah Desa KEDA yang cemerlang memperoleh 5A ke atas bagi SPM 2023.
Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pengurus Khidmat Pengurusan, Cik Shuhaila binti Hamzah.
YBhg. Tuan Ismasuhaimi dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada anak-anak permata ini dengan keputusan cemerlang yang diperolehi.
Beliau berkata, KEDA akan memastikan kecemerlangan ini berterusan dan di tambah baik, oleh itu beliau meletakkan kepercayaan tinggi dan bebanan tugas kepada semua Pegawai Pembangunan Zon dan kepimpinan Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) bagi melestarikan kecemerlangan anak-anak ini.
“KEDA komited untuk terus menjadikan pendidikan antara fokus utama pembangunan luar bandar agensi ini.
Kita akan terus menyantuni anak-anak luar bandar yang cemerlang akademik dan bagi yang keciciran dan kurang bernasib baik, KEDA melalui Kolej KEDA akan mempromosikan TVET sebagai pilihan untuk mereka meneruskan pengajian,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Anak-Anak Desa KEDA di Dewan Dokoh Ratna, Jalan Batu Lintang Sungai Pasir.
Pada tahun 2023, dua orang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang paling tertinggi iaitu 9A yang terdiri daripada seorang lelaki dari KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan iaitu Desa KEDA Tepi Sungai, Kuala Muda dan seorang perempuan dari Desa KEDA Bendang Perang, Jabi, Pokok Sena di bawah KEDA Zon 3.
Majlis ini juga diharap dapat menyuntik dorongan positif agar anak-anak desa KEDA belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya menjadi role model kepada semua lapisan di desa untuk melahirkan komuniti luar bandar yang sejahtera.