PROGRAM MENTOR MUDA HARAPAN KEDA TINGKAT TAHAP KESEDARAN ANAK DESA KEDA
KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 8, Kota Setar/Kubang Pasu dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Mentor Muda Harapan KEDA di Desa KEDA Pochan, Jitra, baru-baru ini.
Program ini dirangka untuk meningkatkan tahap kesedaran pelajar penduduk Desa KEDA Pochan dan Desa KEDA Wang mengenai kepentingan pendidikan selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah. Pelbagai aktiviti kumpulan dan ceramah berkenaan kepentingan pendidikan telah diadakan sepanjang program ini.
Program ini berjaya menarik penglibatan seramai 70 orang pelajar UUM dan pelajar-pelajar sekolah dari Desa KEDA Pochan dan Desa KEDA Wang.
Selain itu, program ini juga turut diserikan dengan pemberian bakul makanan kepada 30 penerima yang terdiri daripada penduduk Desa KEDA Pochan dan Desa KEDA Wang. Sumbangan ini adalah hasil daripada Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kedah.
Antara yang hadir ke program ini adalah Pensyarah UUM, Professor Madya Dr. Zakiyah binti Jamaludin, Pegawai Pembangunan Zon 8 Kota Setar/Kubang Pasu, Encik Muhamad Ramlan bin Jaafar, kakitangan Pejabat KEDA Zon 8 dan wakil dari Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kedah.
Dengan program seperti ini, diharapkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan di kalangan pelajar-pelajar di Desa KEDA Pochan dan Desa KEDA Wang dapat ditingkatkan, sekaligus memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.