KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN 4P DESA KEDA ZON 4, SIK BERI FOKUS KEPADA HALATUJU DAN TRANSFORMASI
LANGKAWI – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, meluangkan masa menyantuni Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) Desa-Desa KEDA Zon 4, Sik, sempena Kursus Pemantapan Pengurusan 4P Peringkat Pejabat KEDA Zon 4, Sik di Pulau Langkawi, baru-baru ini.
YBhg. Tuan Pengurus Besar turut hadir menyempurnakan penutupan program tersebut dan mengadakan sesi dialog bagi mendengar cadangan serta isu permasalahan setempat yang disuarakan kepimpinan kampung.
Program yang berlangsung selama dua hari itu memberi fokus kepada halatuju dan transformasi, dengan melibatkan Pengerusi dan Jawatankuasa Tertinggi setiap Desa KEDA dalam Daerah Sik.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan turut dihadiri Pegawai Pembagunan Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim.
Pengisian kursus telah dikendalikan sepenuhnya oleh Mantan Pengurus Pembangunan Komuniti, Tuan Haji Abdul Rahman bin Abduk Khalek atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Man.
Kursus tersebut memfokuskan kepada pembinaan perancangan pembangunan projek kampung ke arah mewujudkan entiti kampung dengan mengoptimumkan sumber dan kelebihan yang sedia ada.