KEDA KOMITED LAHIRKAN 40 TUKANG GUNTING RAMBUT PROFESIONAL

KEDA KOMITED LAHIRKAN 40 TUKANG GUNTING RAMBUT PROFESIONAL

ALOR SETAR – Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berupaya melahirkan 40 usahawan tukang gunting rambut professional.
Harapan ini disuarakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Peserta Tajaan KEDA “Kursus Gunting Rambut Profesional Lelaki” Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tahun 2023 baru-baru ini.
Pada tahun 2023, KEDA telah menerima peruntukan keseluruhan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM600,000.00 bagi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), dan salah satunya adalah Kursus Gunting Rambut Profesional Lelaki.
Program PLKK ini melibatkan 40 orang peserta sekitar Negeri Kedah terdiri dari Ahli Isi Rumah (AIR) B40 yang layak dan berminat untuk bekerja dalam industri gunting rambut profesional.
Program Latihan Kemahiran & Kerjaya (PLKK) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) merupakan satu program yang diwujudkan oleh KKDW untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.
PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia Tahap I,II dan III.
Kos bagi seorang peserta bagi kursus ini adalah sebanyak RM2,700 dan bantuan ini merangkumi yuran latihan, elaun sara diri peserta, makan minum, penginapan, dan alat- alat bantuan untuk latihan dengan jumlah keseluruhan kos bagi Program ini adalah sebanyak RM108,000.00.
Diharapkan kesemua 40 orang peserta yang terlibat dalam kursus ini mendapat manfaat dan peningkatan kemahiran serta kompentensi yang lebih tinggi untuk menempatkan dan menyesuaikan diri apabila berada di dalam industri.
Terima kasih Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu kerana berjaya berkolaborasi bersama pihak Academy Mattpull Barbershop bagi memastikan 40 orang peserta bagi Kursus Gunting Rambut Profesional Lelaki ini mendapat ilmu dan latihan bagi memantapkan kemahiran diri dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi diri peserta serta keluarga mereka.