PEJABAT KEDA ZON 4, SIK BENTUK PELAJAR BINA KETAHANAN MENTAL DAN FIZIKAL LEBIH TINGGI

PEJABAT KEDA ZON 4, SIK BENTUK PELAJAR BINA KETAHANAN MENTAL DAN FIZIKAL LEBIH TINGGI

KUALA MUDA – Pejabat KEDA Zon 4, Sik, berjaya mengadakan Kem Bina Semangat dan Perkhemahan Perdana Sekolah Kebangsaan Kampung Kota Bukit, Sik selama 3 hari 2 malam di Kem D’Omland Teluk Bayu, Sungai Petani.
Program ini melibatkan seramai 80 pelajar yang mengikuti pelbagai modul outdoor dan indoor yang bertujuan melahirkan pelajar dengan daya tahan tinggi.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuk mendaki, latihan berpasukan, dan sesi pembelajaran di dalam kelas yang semuanya dirancang untuk membina semangat kerjasama dan ketahanan diri.
Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik yang mewakili Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa bangga dengan penyertaan dan semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang program berlangsung.
“Program seperti ini sangat penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi,” katanya.
Para pelajar yang terlibat juga menyuarakan rasa gembira dan puas hati dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang kem tersebut, serta berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.