KEDA SERTAI PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON TIMUR

KEDA SERTAI PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON TIMUR

KUANTAN – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah terlibat dalam menjayakan dan memeriahkan Program MADANI Rakyat 2024 (PMR 2024) bagi Zon Timur di sini.
KEDA yang telah berkampung sejak awal karnival bermula iaitu 5 Julai 2024 sehingga 7 Julai 2024 ini telah menyediakan Laman Ternakan untuk para pengunjung yang hadir.
Terdapat pelbagai haiwan eksotik, mamalia dan reptilia dipersembahkan selain laman landak dan juga laman arnab.
Namun, lebih mengujakan, bagi mensimbolikkan sendiri lokasi PMR 2024 iaitu di Negeri Pahang yang terkenal sebagai negeri Tok Gajah ini, KEDA dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) telah membawa gajah untuk tontonan pengunjung yang hadir.
PMR 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff turut ke Kuantan bagi menyertai dan memeriahkan PMR 2024 kali ini.
Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu.
Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.